HASNAH bersama Mohd Nazri menunjukkan label baru produk sos cili dan tomato Cap Kipas Udang.
HASNAH bersama Mohd Nazri menunjukkan label baru produk sos cili dan tomato Cap Kipas Udang.
Rudy Fazrunisyam Samarudin


Johor Bahru: ZARA Foodstuff Industries Sdn Bhd (ZFI), pengeluar kicap dan sos jenama Cap Kipas Udang bakal menjengah pasaran baru di Nigeria awal tahun depan.

Pengarah Pemasaran ZFI Hasnah Abdul Rahman berkata, ini menjadikan ia syarikat berasaskan produk makanan pertama menembusi pasaran negara itu.

Katanya, tiga kontena produk ZFI akan dihantar ke Nigeria mulai Januari tahun depan dan jumlah itu akan ditingkatkan berdasarkan permintaan.

“Permintaan pasaran antarabangsa kita sentiasa meningkat dan kita membuat kajian pasaran serta usaha untuk memasarkan produk ZFI terutama kicap ke Nigeria sejak tiga tahun lalu.

“Permintaan produk ZFI di Nigeria agak tinggi berikutan cara pemakanan yang hampir sama dengan negara ini menyebabkan produk kicap dan sos diterima penduduk negara itu,” katanya ketika melancarkan label terbaru produk sos cili dan sos tomato, di sini.

Hadir sama Pengurus Kilang ZFI Mohd Nazri Ismail.

Pada masa ini, produk ZFI dieksport ke Singapura, Brunei, Filipina, Kanada, Australia, Arab Saudi dan United Kingdom.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Oktober 2017 @ 9:57 AM