ROHANI menunjukkan antara produk keluaran syarikatnya.
ROHANI menunjukkan antara produk keluaran syarikatnya.
Wan Nur Ameera Meor Rozman

Gombak : SHRF Food Industries Sdn Bhd (SHRF Food Industries), pengeluar produk makanan sedia untuk dimakan menyasarkan jualan bulanan berjumlah sehingga RM1 juta berbanding jualan keseluruhan RM2.2 juta pada 2016.

Pengarah Urusannya, Rohani Borhan berkata, pihaknya optimis mampu mencapai unjuran ditetapkan didorong oleh strategi pemasaran termasuk pengenalan trak makanan, mesin layan diri dan kerjasama dengan usahawan katering.

“Dalam masa sama, kami juga sedang mencari dan membuka peluang kepada usahawan yang berminat untuk bekerjasama dengan SHRF Food Industries bagi ketiga-tiga aktiviti syarikat.

“Pembabitan usahawan ini bukan saja dapat membantu mengukuhkan jenama dan melebarkan empayar perniagaan, malah dapat membantu mereka menjana pendapatan sampingan,” katanya sambil menambah maklumat lanjut boleh didapatkan melalui laman web www.foodshrf.webs.
com atau Facebook SHRF Food Industries Sdn Bhd.

Beliau berkata, SHRF Food Industries adalah pengeluar dan pengilang bagi 46 jenis produk daripada empat kategori iaitu sedia untuk dimakan, sedia untuk dimasak, pes masakan dan lain-lain.

Antara produk disediakan termasuk Nasi Briyani Gam Ayam, Nasi Briyani Tomato, Rendang Minang, Nasi Goreng Kampung, Pes Asam Pedas, Pes Kerutuk serta Tepung Goreng Ayam.

“Sebagai pengilang, kami turut menawarkan khidmat pengilang peralatan asal (OEM) bagi syarikat yang berminat untuk mengeluarkan produk dengan jenama tersendiri,” katanya.

Rohani berkata, produk keluarannya mempunyai kelulusan halal, Skim Pensijilan Makanan Selamat Tanggungjawab Industri (MeSTI), Amalan Pengilangan Baik (GMP), Titik Kawalan Kritikal (HACCP) dan ISO 22000, setiap produknya sentiasa bersedia untuk menembusi pasaran antarabangsa.

“Kami melihatkan potensi yang besar untuk produk ini di pasaran global seperti United Kingdom, China, Hong Kong dan Taiwan. Jenama SHRF Food Industries turut dijangkakan memasuki Jepun menjelang akhir tahun ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Ogos 2017 @ 8:51 AM