PENGARAH Urusan MaxMaster Industry, Frankie Gan (dua dari kiri) menyampaikan replika sumbangan kepada penghuni Dual Blessing, Ding Jun Wei, 27 (tiga dari kanan) sambil diperhatikan Ketua Penolong Pengarah JKM Selangor, Mohd Fadhlie Khamis (tiga dari kiri), Pengasas Bentoree, Khor Bean Chong dan Pengarah Majlis Tindakan Pengguna Kebangsaan, John Lok (dua dari kiri) ketika majlis pelancaran Kempen Sebutir Nasi, Sejuta Kasih di Shah Alam. FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM

Murnaena Muhammad Nasir

BENTO Food Industries Sdn Bhd (Bentoree) menyumbang 36,000 bungkus nasi goreng kepada 30 organisasi kebajikan terpilih sekitar Selangor dan Kuala Lumpur melalui kempen 'Sebutir Nasi, Sejuta Kasih', 16 Ogos lalu.

Kempen menerusi kerjasama Majlis Tindakan Pengguna Negara (MTPN) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) itu dilancarkan di Geno Hotel, Subang Jaya, Selangor.

Pengasasnya, Khor Bean Chong berkata, Bentoree melalui tanggungjawab sosial korporat (CSR) mengagihkan sumbangan kepada organisasi kebajikan terpilih demi membantu mereka yang memerlukan dalam mengharungi cabaran Covid-19.

Katanya, melalui kempen itu, pihaknya berjaya mengumpulkan 30 penderma bagi memberi sumbangan kepada 30 organisasi kebajikan terpilih itu.

"Kami mahu melakukan sesuatu yang baik kepada masyarakat. Oleh itu, kempen ini dilancarkan supaya penderma persendirian dapat sama-sama berbakti kepada masyarakat.

"Antara organisasi kebajikan terpilih menerima sumbangan ini termasuklah Yayasan Sunbeam Home, Pertubuhan Kebajikan Anak-anak Yatim Sayang Kuala Lumpur dan Selangor, Persatuan Insan Istimewa Cheras Selangor, House Of Joy, Promise Home, MyKasih Care dan banyak lagi," katanya ketika majlis pelancaran 'Sebutir Nasi, Sejuta Kasih'.

Turut hadir, Ketua Penolong Pengarah Kebajikan Bahagian Produktif dan Komuniti JKM Selangor, Mohd Fadhlie Khamis, Yang Dipertua MTPN Wilayah Persekutuan John Lok, dan Pengerusi Community Policing Malaysia, Kuan Chee Heng yang juga dikenali sebagai Uncle Kentang.

Katanya, lima jenis nasi goreng yang terdiri daripada nasi goreng pedas mala, nasi goreng asia, nasi goreng halia, nasi goreng briyani dan nasi goreng kari yang disumbangkan dalam kempen itu adalah produk terbaharunya tahun ini.

"Sumbangan kali ini membabitkan organisasi kebajikan termasuklah warga emas, anak-anak yatim, insan istimewa dan asnaf yang membabitkan keseluruhan sumbangan 36,000 bungkus nasi.

"Kempen ini juga bertujuan meringankan beban golongan yang memerlukan dan diharapkan sumbangan itu dapat menggembirakan mereka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Ogos 2020 @ 9:10 PM