CHAN optimis perluaskan sektor e-dagang ipay88 di ASEAN.
CHAN optimis perluaskan sektor e-dagang ipay88 di ASEAN.
Syarifah Dayana Syed Bakri


Kuala Lumpur: iPay88 Sdn Bhd (iPay88), syarikat data NTT dan penyedia penyelesaian perkhidmatan pembayaran dalam talian di ASEAN meletakkan sasaran menembusi pasaran antarabangsa bagi memperluaskan sektor e-dagang dan mengukuhkan kedudukan dan jenamanya di rantau ini.

Pengarah Eksekutifnya Chan Kok Long berkata, iPay88 meninjau peluang di Asia Pasifik, Bangladesh, Hong Kong dan Asia Barat.

“Kami berusaha menjadi gerbang pembayaran paling mendapat permintaan di negara berkenaan.

“Malaysia akan kekal sebagai pasaran utama, tetapi kami perlu membuka laluan kami secara strategik ke pasaran lain,” katanya pada taklimat media iPay88 mengenai pelan pembangunannya, di sini, semalam.

Setakat ini, iPay88 beroperasi di semua negara Asia Tenggara termasuk Kemboja, Indonesia, Thailand, Vietnam, Filipina dan Singapura.

Chan berkata, pengembangan pasaran ke rantau berbeza seperti ASEAN dan Asia Pasifik tidak mudah berikutan persekitaran pembayaran dalam talian di setiap negara unik dengan pelbagai keadaan perniagaan.

“Usaha kami ke Indonesia dan Filipina yang berjaya baru-baru ini, menjadi pelan tindakan bagi kami terus meneroka pasaran Asia Tenggara lain,” katanya.

Selain kedudukan yang kukuh di Asia Tenggara, iPay88 turut berkembang ke bahagian Asia yang lain termasuk Hong Kong dan Bangladesh.

“Kami berharap untuk membina kedudukan kukuh dalam Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik menjelang akhir 2018,” katanya.

Untuk pasaran Malaysia, iPay88 mencatatkan nilai transaksi bulanan mencecah RM500 juta dan menjangka jumlah itu mencecah RM6 bilion tahun ini.

Setakat ini, lebih 11,000 perniagaan menjadi rakan dagang iPay88 di Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Julai 2017 @ 10:17 AM