PROGRAM saintifik bertempat di Ibu Pejabat KOPRI di Incheon, Korea Selatan, mengambil masa tiga minggu.
PROGRAM saintifik bertempat di Ibu Pejabat KOPRI di Incheon, Korea Selatan, mengambil masa tiga minggu.
Fazurawati Che Lah


PENYELIDIK dari Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) mencatat sejarah tersendiri apabila terpilih menjalankan kajian lanjut berhubung fenomena kilat di Semenanjung Antartika (Kutub Selatan).

Pensyarah Kanan Fakulti Kejuruteraan Elektronik dan Kejuruteraan Komputer (FKEKK), Dr Mohd Riduan Ahmad, turut dianugerahkan Skim Fellowship Sains Polar Asia 2019 di bawah tajaan Institut Penyelidikan Polar Korea (KOPRI) daripada kerajaan Korea Selatan.

Dr Mohd Riduan bekerjasama dengan penyelidik KOPRI iaitu Dr Sang-jong Park bagi mendapatkan penemuan baharu berkaitan jenis kilat yang berlaku di Semenanjung Antartika.

Penemuan baharu kumpulan saintis dunia itu bagi merungkai permasalahan berkaitan senario pemanasan global dan perubahan iklim yang sedang dihadapi bumi.

Program saintifik bertempat di KOPRI, Incheon, Korea Selatan bermula pada 6 Julai lalu dan mengambil tempoh selama tiga minggu dan dijangka tamat pada penghujung bulan ini bagi fasa pertama.

Seterusnya, program kembara dan eksperimen akan dijalankan pada Januari dan Februari akan datang di Stesen King Sejong, Semenanjung Antartika selama dua bulan.

Pada fasa ini, kajian lanjut dimulakan menerusi bantuan alat pengukur kilat bagi mengukur medan elektromagnetik kilat yang dapat dikesan dalam lingkungan 300 kilometer (km) dari stesen itu.

Sementara itu, Naib Canselor UTeM, Profesor Dr Raha Abdul Rahim, berharap penyelidikan itu mencapai kejayaan kerana hasil daripada kajian berkenaan bakal memberikan impak besar kepada dunia.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Julai 2019 @ 10:19 AM