PROF Radha (dua kanan) menunjukkan bahan pembelajaran abad ke-21 kepada Kathleen (tengah) dan
PROF Radha (dua kanan) menunjukkan bahan pembelajaran abad ke-21 kepada Kathleen (tengah) dan
Fazurawati Che Lah


UNIVERSITI Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi, Selangor menjadi universiti pertama di negara ini yang mempunyai Frog Classroom yang diwujudkan di Pusat Literasi dan Transformasi Sosio-Budaya, Fakulti Sains dan Kemanusiaan.

Projek dengan kerjasama antara FrogAsia Sdn Bhd dengan pasukan UKM itu diketuai Prof Dr Radha Nambiar, yang juga pengerusi pusat berkenaan.

Kelas berkenaan bertujuan menggalakkan penyertaan pelajar mengikuti pembelajaran dengan integrasi teknologi.

Malah kelas itu juga hasil perkongsian selama tiga tahun dengan YTL Foundation, yang turut membiayai satu kajian berkenaan keberkesanannya.

“Selama satu tahun, saya dan tiga rakan sekerja mengkaji sama ada berlaku perubahan dalam pengajaran serta pembelajaran di kelas atau sebaliknya.

“Kajian juga mendapati bahawa kelas itu mewujudkan persekitaran pembelajaran yang kondusif di sekolah dan murid tidak sabar untuk ke sekolah setiap hari,” katanya pada majlis perasmian Frog Classroom.

Menariknya, kajiannya terhadap kesan Frog Classroom sudah diterbitkan pada tahun 2017.

Ia kemudiannya diterapkan di UKM dengan kerjasama pengarah program Yayasan YTL Datin Kathleen Chew Wai Lin untuk membuka Frog Classroom pertama di universiti itu.

Hadir sama majlis perasmian itu ialah Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa), Prof Datuk Dr Mohd Marzuki Mustafa dan Timbalan Naib Canselor (Perkongsian Industri dan Kemasyarakatan), Prof Datuk Dr Imran Ho Abdullah.

Prof Radha berkata, kelas itu direka bagi memenuhi pembelajaran abad ke-21 dan tiada lagi kelas konvensional.

Sementara itu, Prof Marzuki berkata, landskap pendidikan negara sentiasa berubah dan UKM perlu menyesuaikan diri dengan pantas.

“Kita perlu berfikir dan bertanya soalan berkenaan masa depan pembelajaran supaya kita, sebagai pendidik dapat mewujudkan peluang yang lebih baik untuk pelajar kita. Penting untuk diingat bahawa pendidik bukan lagi satu-satunya sumber maklumat dalam era digital ini.

“Kemudahan ini akan membimbing pelajar untuk membangunkan kemahiran seiring dengan keperluan Revolusi Perindustrian Keempat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 April 2019 @ 10:16 AM