PASUKAN daripada pelajar JKM bersama pingat emas diperoleh bagi pembentangan projek Mechanical Workshop Practice Acquainted Through AR.
PASUKAN daripada pelajar JKM bersama pingat emas diperoleh bagi pembentangan projek Mechanical Workshop Practice Acquainted Through AR.
Fazurawati Che Lah


Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin, Perlis (PTSS) merangkul dua pingat emas dan satu pingat gangsa dalam Innovative Research, Invention and Application Exhibition 2019 (I-RIA) yang diadakan di Dewan Mua’dzam Shah, Universiti Utara Malaysia (UUM), Sintok, Kedah, baru-baru ini.

Pasukan pertama PTSS yang memenangi pingat emas terdiri daripada pelajar Jabatan Kejuruteraan Mekanikal (JKM) membentangkan tajuk Mechanical Workshop Practice Acquainted Through Augmented Reality (AR).

Pembentangan dilakukan S Suveerak bersama Willy Tian, Nadia Haziera Abd Majid dan P Premkumar yang diselia pensyarah JKM, Mohd Zulfabli Hasan.

Mechanical Workshop Practice Acquainted Through Augmented Reality (AR) adalah projek berbentuk penghasilan poster menggunakan teknologi AR selari dengan Pendidikan 4.0.

Mohd Zulfabli memberitahu, projek itu sebahagian subjek utama Diploma Kejuruteraan Mekanikal iaitu Mechanical Workshop Practice 1 yang terdiri daripada tiga bengkel utama iaitu kimpalan, pemesinan dan gegas.

“Projek ini dihasilkan untuk membantu pelajar semester satu yang belum menguasai asas ilmu kejuruteraan mekanikal melalui kaedah pembelajaran yang menyeronokkan bagi menarik minat mereka untuk mempelajari subjek berkenaan dengan lebih berfokus.

“Malah projek ini menghasilkan poster bagi setiap bengkel pembelajaran, apabila pelajar mengimbas pada bahagian tertentu, video maklumat untuk pengendalian mesin akan terpapar.

“Secara tidak langsung, inovasi ini menjadi satu panduan bagi pelajar menghasilkan projek untuk bengkel kimpalan, mesin dan gegas,” katanya.

Istimewanya projek ini, selain daripada menggunakan pendekatan AR, video yang dirakam merangkumi semua pembelajaran di bengkel.

Pada masa sama, projek itu juga mendapat maklum balas positif dan diguna pakai politeknik zon utara iaitu Politeknik Sultan Abdul Halim Muad’zam Shah, Jitra, Kedah; Politeknik Tuanku Sultanah Bahiyah, Kulim, Kedah serta Politeknik Seberang Perai, Pulau Pinang; selain Kolej Vokasional Kangar, Perlis.

Pingat emas kedua PTSS menerusi penyertaan pensyarah iaitu Ida Rohayu Mohd Romli dari Jabatan Pelancongan dan Hospitaliti dengan projek bertajuk Portable Water Filtration System For Cooker Hood.

Malah projek berkenaan membabitkan sistem penapisan air mudah alih bagi hud memasak adalah produk inovasi yang dicipta bertujuan merawat asap memasak sebelum dibebaskan ke persekitaran.

Lebih membanggakan ia turut berperanan memberikan pendedahan amalan memasak yang mesra persekitaran dan berupaya mendidik pengendali makanan mahupun orang awam berkenaan bahaya pembebasan bahan zarah (pm 2.5) terhadap tahap kesihatan serta alam sekitar.

Sekali gus memberikan impak terhadap kualiti udara terutama dalam pengurangan pembebasan bahan zarah daripada aktiviti memasak.

Pingat gangsa pula dimenangi pensyarah PTSS, Azmiah Aziz dari Jabatan Teknologi Maklumat dan Komputer (JTMK) dengan projek yang bertajuk Smart Laundry PTSS.

Tidak ketinggalan pingat dan sijil berkenaan disampaikan Pengarah Jabatan Hal ehwal Pelajar UUM, Dr Massudi Mahmuddin pada Majlis Penutup I-RIA 2019.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Julai 2019 @ 9:23 AM