FABIO Quartararo. FOTO AFP
FABIO Quartararo. FOTO AFP
Agensi

Austin: Lin Jarvis berkata Yamaha berhasrat mengekalkan juara MotoGP 2021, Fabio Quartararo melebihi kontrak semasa yang ditandatanganinya minggu lalu.

Quartararo menandatangani kontrak baharu selama dua tahun yang akan menyaksikannya kekal bersama Yamaha sehingga musim 2026.

Bercakap mengenai kepentingan mengekalkan Quartararo, Jarvis berkata: "Sangat penting. Sangat gembira kerana kami dapat menandatanganinya untuk dua musim lagi.

"Adalah penting untuk menandatangani pelumba yang menjadi tonggak utama kami dalam beberapa tahun kebelakangan ini. Dia juara pada 2021, enam tahun bersama Yamaha, empat tahun bersama pasukan pengeluar.

"Adalah satu perkara yang positif apabila kami terus menggunakan khidmatnya. Pertama adalah berkaitan prestasi jentera. Kami tahu dia adalah pelumba yang mampu memberikan fokus maksimum terhadap motosikal.

"Kedua adalah faktor kepercayaan. Dia tahu apa rancangan kami, ke mana hala tuju kami dan apa yang kami akan cuba lakukan.

"Ia memberikan keyakinan kepada semua pihak dalam projek ini termasuk jurutera, kakitangan dan penaja. Ia satu perkara yang positif untuk kejuaraan MotoGP juga."

Seperti Honda, Yamaha sudah tidak lagi kompetitif tetapi Jarvis berkata mereka berazam untuk kembali meraih kemenangan secepat mungkin.

"Kami mempunyai perancangan untuk kembali kepada cara kami yang dahulu iaitu sentiasa melakar kemenangan," kata Jarvis.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 April 2024 @ 10:34 AM