Christian Horner kini sedang disiasat atas dakwaan tingkah laku yang tidak wajar
Christian Horner kini sedang disiasat atas dakwaan tingkah laku yang tidak wajar
AFP

London: Bos pasukan Formula 1 Red Bull, Christian Horner sedang disiasat berikutan tuduhan "tingkah laku yang tidak wajar."

Difahamkan, dakwaan itu dibuat oleh salah seorang kakitangan pasukan berpangkalan di Britain itu yang tahun lalu membawa Max Verstappen merangkul kejuaraan dunia ketiga berturut-turut.

Horner, 50, yang menjadi ketua pasukan Red Bull sejak 2005, menolak sekeras-kerasnya tuduhan itu.

"Selepas dimaklumkan tentang dakwaan tertentu baru-baru ini, syarikat melakukan siasatan bebas," kata Red Bull, firma minuman tenaga Austria yang memiliki pasukan F1, dalam satu kenyataan.

"Proses ini, yang sedang dijalankan pakar siasatan luar.

"Syarikat memandang serius perkara ini dan siasatan akan diselesaikan secepat mungkin. Tidak sesuai untuk mengulas lanjut buat masa ini."

Horner mengetuai tujuh kejuaraan dunia pemandu dan enam gelaran pengeluar.

Red Bull memenangi 21 daripada 22 perlumbaan tahun lalu dengan Verstappen mencatat rekod 10 kemenangan berturut-turut ketika dia merangkul kejuaraan ketiga berturut-turut.

Red Bull dijangka melancarkan kereta terbaharu mereka pada 15 Februari menjelang musim baharu, yang bermula di Bahrain pada 2 Mac.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Februari 2024 @ 9:16 AM