VERSTAPPEN meraikan kejayaan mempertahankan gelaran juara dunia. FOTO AP
VERSTAPPEN meraikan kejayaan mempertahankan gelaran juara dunia. FOTO AP
AFP

Suzuka: Max Verstappen berkata dia mampu mendominasi Formula Satu (F1) untuk beberapa tahun akan datang selepas merangkul gelaran dunia kedua berturut-turut di Grand Prix Jepun, semalam.

Pemandu Red Bull itu memenangi perlumbaan dramatik yang dipendekkan berikutan hujan di Suzuka dan merangkul kejuaraan dunia apabila pesaing terdekatnya, Charles Leclerc diturunkan ke tempat ketiga kerana dikenakan penalti lima saat.

Pemandu Belanda itu berkata, ia adalah 'perasaan gila' dapat menjulang trofi juara dunia buat kali kedua sebelum meletakkan sasaran untuk mendominasi sukan berkenaan dalam tempoh beberapa tahun akan datang.

"Jika saya mempunyai kereta yang kompetitif, saya yakin kami boleh meneruskannya," kata pemandu berusia 25 tahun itu yang sudah memenangi 12 daripada 18 perlumbaan musim ini.

"Ia juga bergantung kepada apa yang akan dilakukan oleh pesaing anda. Saya sangat mempercayai pasukan sekarang dan berharap pada tahun-tahun akan datang kami boleh menikmati lebih banyak kemenangan dan sudah tentu kejuaraan dunia."

Verstappen hanya dimaklumkan dapat mengekalkan kejuaraan dunia ketika ditemuramah selepas tamat perlumbaan, malah dia sendiri tidak pasti mengenainya.

Leclerc dari Ferrari melintasi garisan penamat di tempat kedua di hadapan Sergio Perez dari Red Bull, tetapi dia dikenakan penalti selepas menghimpit Perez.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Oktober 2022 @ 11:21 AM