ZAQHWAN bersama pasukan Honda Asia-Dream Racing with SHOWA. -FOTO Ihsan Facebook Zaqhwan Zaidi
ZAQHWAN bersama pasukan Honda Asia-Dream Racing with SHOWA. -FOTO Ihsan Facebook Zaqhwan Zaidi
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Pelumba negara, Zaqhwan Zaidi gembira apabila berpeluang kembali menyertai saingan Suzuka 8 Hours selepas dua tahun ia tidak dianjurkan kerana kekangan Covid-19 yang melanda seluruh dunia.

Menurut Zaqhwan, yang baru selesai menjalani ujian dua hari di Litar Suzuka, Jepun, dia berpuashati dengan keputusan diraih apatah lagi ia adalah kali pertama pasukan Honda Asia-Dream Racing with SHOWA menguji jentera mereka.

"Selesai dua hari ujian Suzuka 8 Hours. Gembira dapat kembali ke sini selepas dua tahun tidak berlumba di Suzuka. Terima kasih Honda Asia-Dream Racing with SHOWA kerana usaha gigih dilakukan," kata Zaqhwan.

Ujar pelumba berusia 27 tahun itu, ia bukan mudah buat mereka kerana menggunakan jentera baru yang belum pernah diuji namun dia yakin mampu beraksi cemerlang pada minggu perlumbaan 8 jam nanti.

Perlumbaan Suzuka 8 Hours 2022 kembali berada dalam kalendar FIM EWC dari 5 hingga 7 Ogos ini selepas tidak dianjurkan sejak 2019 kerana krisis kesihatan global iaitu Covid-19.

Perlumbaan ini pernah menyaksikan nama besar sukan permotoran dua roda memenanginya seperti Wayne Rainey pada 1988, Eddie Lawson (1990) , Mick Doohan (1991) dan Valentino Rossi (2001).

Dalam sesi ujian, Honda Asia-Dream Racing with SHOWA yang disertai Zaqhwan dan Gerry Salim menamatkan sesi ketiga dengan berada di kedudukan ke-14 sebelum ke-18 terpantas pada sebelah malam.

Perlumbaan Suzuka 8-Hours adalah perlumbaan tradisional dalam kalendar perlumbaan antarabangsa di Jepun khususnya membabitkan pengeluar motosikal utama dari Jepun.

Perlumbaan ini akan disertai oleh barisan pelumba-pelumba antarabangsa termasuk dari Jepun sendiri dan adalah antara perlumbaan besar yang dinantikan dalam kalendar sukan permotoran antarabangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Julai 2022 @ 1:28 PM