PELUMBA pasukan Yart  Yamaha meraikan kemenangan  di Litar Antarabangsa Sepang. FOTO  Zulfadhli Zulkifli
PELUMBA pasukan Yart Yamaha meraikan kemenangan di Litar Antarabangsa Sepang. FOTO Zulfadhli Zulkifli
Saiful Affendy Sapran


PASUKAN Yart Yamaha mengungguli edisi sulung Kejohanan Endurance Dunia FIM 8 Jam Sepang selepas 80 pusingan perlumbaan di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) malam ini. Gandingan pelumba Broc Parkes, Karel Hanika dan Niccolo Canepa jauh meninggalkan pasukan tempat kedua, Honda Asia Dream Racing With Showa dengan kelebihan 1:49.622 saat.

Honda Asia Dream Racing With Showa membariskan pelumba negara, Muhammad Zaqhwan Zaidi, Andi Farid Izdihar serta Somkiat Chantra.

Podium ketiga pula menjadi milik BMW Motorrad World Endurance yang membariskan Illya Mykhalchyk dan Markus Reiterberger.

Terdahulu perlumbaan yang sepatutnya berlangsung jam 1 petang terpaksa ditangguhkan kerana permukaan litar basah berikutan hujan lebat.

Perlumbaan kemudian dimulakan semula jam 3 petang namun selepas melakukan sembilan pusingan di belakang kereta keselamatan, ia terpaksa ditangguhkan sekali lagi.

Perlumbaan bersambung semula jam 6 petang selepas litar beransur kering dan mendapat lampu hijau pengarah perlumbaan.

Pasukan pilihan, Yamaha Sepang Racing mendahului di awal perlumbaan tetapi pelumba pertama mereka, Michael Van Der Mark terjatuh di pusingan ke-19 selepas kemalangan bersama pelumba F.C.C TSR Honda, Mike Di Meglio.

Van Der Mark terpaksa membawa jenteranya ke hentian pit sekali gus menyaksikan mereka kerugian lebih enam minit. Yamaha Sepang Racing yang turut disertai pelumba MotoGP, Franco Morbidelli dan Hafizh Syahrin Abdullah menamatkan perlumbaan di kedudukan ketujuh. Esok akan berlangsung perlumbaan Kejuaraan Piala Touring Car dunia (WTCR).

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 Disember 2019 @ 9:39 PM