Azlan Shah Kamaruzaman bersama jenteranya yang menyertai ARRC. FOTO Ihsan TKKR Racing Team
Azlan Shah Kamaruzaman bersama jenteranya yang menyertai ARRC. FOTO Ihsan TKKR Racing Team
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Juara bertahan kelas ASB1000 Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC), Azlan Shah Kamaruzaman tetap tenang walaupun memulakan kempen 2022 dengan keputusan kurang cemerlang.

Menurut Azlan, kalendar kejuaraan bagi musim ini masih panjang dan ruang penambahbaikan tetap ada di setiap pusingan perlumbaan.

"Permulaan yang sukar untuk kempen 2022," kata Azlan yang berjaya menamatkan Perlumbaan 2 Pusingan 1 ARRC yang berlangsung di Litar Antarabangsa Chang, Thailand dengan berada di tempat keenam untuk mengumpul 10 mata berharga, semalam.

Menamatkan perlumbaan di kelompok yang menjanjikan kutipan mata sememangnya diharapkan pelumba ONEXOX BMW TKKR Team itu selepas mengalami isu teknikal pada Perlumbaan 1, Sabtu lalu.

Apapun kami berjaya meraih penamat keenam (Perlumbaan 2) dan meraih beberapa mata berharga. Musim yang masih panjang dan akan sentiasa berusaha dengan gigih.

Terima kasih kepada pasukan yang sentiasa berusaha gigih untuk mencari pelarasan motosikal dan kami akan terus meningkat dari semasa ke semasa," kata Azlan.

Dengan berakhirnya Pusingan 1, Azlan kini berkongsi 10 mata bersama Kasma Daniel Kasmayudin (Yamaha Racing Team ASEAN) dengan masing-masing berada di tangga ke-10 dan ke-11 keseluruhan.

Pelumba negara, Zaqhwan Zaidi dari pasukan Honda Asia-Dream Racing with SHOWA mendahului carta keseluruhan ASB1000 dengan 45 mata selepas memenangi Perlumbaan 1 dan berada di tempat kedua di Perlumbaan 2.

Pusingan 2 dijadual berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) dari 27 hingga 29 Mei ini dan Azlan pastinya tidak sabar untuk kembali menggegarkan pentas saingan.

"Selepas ini di Sepang... ayuh berikan mereka saingan," kata Azlan yang sebelum ini turut pernah meraih dua gelaran Asia dalam kelas SuperSports600, masing-masing pada 2013 dan 2017.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Mac 2022 @ 7:05 PM