Zaqhwan menduduki tempat kedua Perlumbaan 2. FOTO Honda Asia-Dream Racing.
Zaqhwan menduduki tempat kedua Perlumbaan 2. FOTO Honda Asia-Dream Racing.
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Hasrat pelumba negara, Zaqhwan Zaidi untuk meraih kemenangan kali kedua berturut-turut pada saingan pembuka tirai Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) 2022 di Litar Antarabangsa Chang, Thailand hari ini tidak kesampaian.

Zaqhwan yang beraksi menerusi kategori ASB1000, menamatkan Perlumbaan 2 hari ini dengan menduduki tempat kedua menerusi catatan 21 minit 02.704 saat (s) selepas memenangi Perlumbaan 1 semalam.

Pada perlumbaan hari ini, dia tewas kepada pelumba tuan rumah, Apiwath Wongthananon (Yamaha Thailand Racing Team) yang mencatat 21:02.530s pada saingan penuh dramatik di hujung perlumbaan manakala rakan sepasukannya, Anupab Sarmoon (Yamaha Thailand Racing Team) berada di tempat ketiga, 21:04.032s.

"Sebenarnya saya kecewa kerana saya cuba memburu gelaran berganda. Namun ini juga rezeki dan pada penghujungnya kami dapat meraih podium. Itu yang paling utama untuk kami terus mengumpul mata.

"Saya mungkin melakukan sedikit kesilapan pada awal pusingan, di selekoh pertama dengan hampir menyentuh pelumba di depan. Pada masa itu, saya seakan sedar mungkin agak sukar untuk ke podium. Namun saya terus berusaha dan akhirnya berada di pentas podium," kata pelumba Honda Asia-Dream Racing with SHOWA itu.

Zaqhwan kini mendahului carta keseluruhan kelas ASB1000 dengan 45 mata manakala Apiwath berada di tangga kedua, 38 mata.

Rakan senegaranya, Anupab berada di tangga ketiga, 36 mata.

Terdahulu dalam kelas SuperSports 600 dan juga Underbone 150, dua pelumba negara, Helmi Azman dan Md Afif Amran masing-masing memenangi Perlumbaan 2.

Helmi yang menyertai kelas SuperSports 600 pada 2019 meraih kemenangan sulungnya dalam kelas kedua tertinggi itu selepas menemui garisan penamat dengan catatan keseluruhan terpantas, 19:59.528s.

Pelumba Boon Siew Honda Racing Team itu mengatasi 4.901s di depan pencabarnya, Nakarin Atiratphuvapat (Honda Racing Thailand) dan melengkapkan podium di tempat ketiga adalah Ibrahim Norrodin, (20:04.686s).

Dalam kelas Underbone 150, pelumba Cardinals Racing Team Malaysia, Afif Amran turut menceriakan kem Malaysia, memenangi perlumbaan dengan catatan 16:34.083s.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Mac 2022 @ 6:56 PM