KIRAH (kiri) dan Md Afiq (kanan) tekad pamer tunggangan terbaik. FOTO AS Academy Racing Team
KIRAH (kiri) dan Md Afiq (kanan) tekad pamer tunggangan terbaik. FOTO AS Academy Racing Team
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Dua pelumba pasukan AS25 Academy Racing Team sudah bersedia menyahut cabaran dalam kelas Wira Kejuaraan Cub Prix Malaysia 2022 yang dijadual membuka tirainya di Litar Antarabangsa Sepang (Utara), hujung minggu ini.

Pasukan milik juara bertahan kelas ASB1000cc Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC), Azlan Shah Kamaruzaman itu membariskan seorang pelumba wanita, Saidatul Zakirah Zairin dan seorang pelumba lelaki, Md Afiq Md Hamdan dengan keduanya-duanya meletakkan sasaran untuk menamatkan kempen dalam kedudukan 15 terbaik keseluruhan.

Bagi Zakirah atau lebih mesra dipanggil Kirah, 14, dia meletakkan sasaran berada dalam kelompok 15 terbaik keseluruhan pada musim pertamanya di saingan kelas Wira Kejuaraan Cub Prix tahun ini.

"Musim ini saya mahu dapatkan penamat dalam kelompok 15 tetapi kelas Wira ini, jujurnya memang susah. Kalau ditengokkan (di Cub Prix) memang agresif, jadi saya pun tengah dapatkan perasaan untuk menjadi agresif dan dalam proses membuang rasa takut yang ada.

"Saya memang tak percaya dapat menyertai AS25 Academy Racing Team sebab saya pun dalam bidang permotoran ini tak bagus sangat tetapi tengah belajar lagi. Terima kasih kepada penaja dan Azlan kerana memberi kepercayaan kepada saya. Gembira dapat peluang seperti ini yang tidak semua dapat.

"Saya minat sukan permotoran sejak berusia lima tahun lagi kerana menonton MotoGP namun saya mula menaiki motosikal pada umur 11 tahun dan berlumba pada usia 12 tahun di Qatar," katanya yang sebelum ini pernah menimba pengalaman beraksi di pentas kejuaraan luar di Qatar dan tempatan.

Sementara itu, Afiq, 16, berazam mencapai sasaran berada dalam kelompok lima terbaik pada musim pertamanya musim ini, berbekalkan pengalaman dan tunjuk ajar daripada dua abangnya yang turut beraksi di Cub Prix, Md Haziq dan Md Firdaus.

"Saya meletak sasaran kelompok lima terbaik... sasaran kena besar. "Untuk mencapai sasaran itu, saya akan mendapatkan tunjuk ajar daripada dua abang saya. Saya akan cari rentak terlebih dulu dalam satu pusingan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Mac 2022 @ 9:45 PM