LEWIS Hamilton. FOTO EPA
LEWIS Hamilton. FOTO EPA
Agensi

London: Juara dunia Formula Satu (F1) 1996, Damon Hill percaya Lewis Hamilton pasti akan berusaha untuk memenangi gelaran juara dunia buat kali kelapan sekali gus tidak mungkin mengumumkan persaraan.

Masa depan juara dunia tujuh kali itu masih mencetuskan tanda tanya selepas dia tewas kepada Max Verstappen untuk perebutan kejuaraan dunia musim lalu yang ditentukan pada pusingan terakhir penuh kontroversi di Abu Dhabi.

Sejak itu Hamilton tidak muncul di depan umum atau mengemaskini di media sosial dan bos Mercedes, Toto Wolff berkata pemandu Britain itu mungkin masih berasa kecewa.

Hill yang terlepas gelaran juara dunia pada 1994 daripada Michael Schumacher selepas terbabit dengan kemalangan berkata, dia berasakan bukan 'sesuatu yang sukar' untuk Hamilton mengambil keputusan kembali beraksi pada musim baharu.

"Dia sudah berada di penghujung kariernya dan sudah mengecapi pelbagai kejayaan. Dia mungkin berkata ia sudah mencukupi.

"Tapi saya yakin kejuaraan dunia kelapan sangat membuatnya cukup teruja. Saya yakin dia ingin kembali berlumba semula," katanya.

Seorang lagi bekas pemandu F1, Martin Brundle juga tidak percaya khabar angin yang Hamilton akan bersara.

"Sudah tentu tidak. Saya sendiri tidak mahu dia bersara. Dia pasti akan kembali," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 January 2022 @ 10:14 AM