Khairul Idham Pawi
Khairul Idham Pawi
BERNAMA

Kuala Lumpur: Bekas pelumba Moto3 negara, Khairul Idham Pawi sah keluar daripada persaraannya untuk berlumba pada saingan Kejohanan Superbike Malaysia (MSBK) 2021 di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) dari 15-17 Oktober ini.

Khairul Idham atau mesra dikenali dengan jolokan Super KIP akan mewakili pasukan TKKR Racing dan akan beraksi dalam kategori 600cc.

Beliau mengakui merindui aksi di litar, malah sudah beberapa kali hatinya terdetik untuk berlumba semula, sebelum ia kembali menjadi kenyataan apabila TKKR Racing menawarkan peluang menyertai pasukan itu sebagai pelumba.

"Saya rindu untuk berlumba, itu cita-cita saya masa kecil dan ini mungkin waktunya untuk saya kembali berlumba," katanya pada sidang media secara maya hari ini.

Bagaimanapun, pelumba berusia 23 tahun itu tidak meletakkan sebarang sasaran sebaliknya hanya mahu memberi tumpuan untuk mencapai keserasian bersama jentera, selepas hampir setahun tidak terbabit dalam perlumbaan kompetitif.

"Saya pun tak berani nak cakap besar juga sebab pelumba-pelumba sekarang banyak dah laju, ramai yang sudah bertambah baik. Jadi saya cuma nak 'enjoy riding' semula, cari balik saya punya 'feeling' dekat atas motor sebab bila lama tinggal saya rasa agak sedikit sukar untuk dapatkan 'feel' itu," katanya.

Ditanya mengenai tahap kecergasan untuk kembali beraksi, Khairul Idham berkata beliau kekal aktif dengan membantu ayahnya memunggah dan mengangkat tandan buah kelapa sawit di kampung halamannya.

Beliau berkata aktivitinya di ladang itu, secara tidak langsung membantu beliau mengekalkan kekuatan mental dan fizikalnya.

Sementara itu, Khairul Idham berkata beliau akan memulakan latihan rasmi bersama TKKR Racing Rabu ini.

Selepas lima musim bersaing dalam Kejuaraan Motosikal Dunia, Khairul Idham mengejutkan peminat tanah air apabila mengumumkan persaraannya daripada sukan permotoran selepas khidmatnya tidak disambung oleh Petronas Sprinta Racing pada Oktober tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Oktober 2021 @ 11:16 PM