ONCU menjadi punca nahas ngeri di Litar Amerika.
ONCU menjadi punca nahas ngeri di Litar Amerika.
Agensi

Austin: Pelumba Moto3 Deniz Oncu digantung daripada menyertai dua perlumbaan selepas menjadi punca nahas ngeri di Texas semalam.

Ketika mencapai kelajuan 250 km/h di laluan lurus Litar Amerika, Oncu yang memintas Jeremy Alcoba bergesel dengan pelumba itu menyebabkan Alcoba terbabas dan dua pelumba di belakang, Andrea Migno dan pendahulu kejohanan, Pedro Acosta yang tidak sempat mengelak turut melambung ke udara.

Perlumbaan dihentikan serta merta namun ketiga-ketiga mereka terselamat daripada sebarang kecederaan serius.

"Anda boleh memintas saya dan terus bergerak lurus tanpa menuju ke arah saya. Saya terbabas ketika di gear enam dan kelajuan sekitar 200 km/h dan saya tahu ada beberapa pelumba di belakang saya, itu sebabnya saya amat bimbang dan gementar,'' kata Alcoba. "Mujur kami semua selamat, itu yang paling penting."

Pelumba Aspar Izan Guevara muncul juara manakala tempat kedua milik Dennis Foggia dan John McPhee meraih tempat ketiga.

Oncu dilarang menyertai Grand Prix Emilia Romagna bulan ini dan Grand Prix Algarve pada November depan.

Pada awal tahun ini, pelumba Moto3 Jason Dupasquier maut selepas terjatuh dan dilanggar pelumba lain di Mugello.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Oktober 2021 @ 2:21 PM