Datuk Ahmad Razlan Ahmad Razali. FOTO File NSTP
Datuk Ahmad Razlan Ahmad Razali. FOTO File NSTP
Aida Adilah Mat
aida_adilah@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Pengendali pasukan Petronas Yamaha Sepang Racing Team (SRT), Datuk Razlan Razali akhirnya mendedahkan bahawa pasukan baru di bawah pimpinannya akan dikenali dengan RNF Racing bermula musim depan.

Penjenamaan semula itu diperlukan selepas Petronas dan Litar Antarabangsa Sepang (SIC) memutuskan untuk menamatkan jalinan kerjasama dalam saingan Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) sebaik tamatnya musim ini.

Bagaimanapun Yamaha masih berminat untuk bersama pasukan itu selepas SRT berjaya membantu mereka menggilap pelumba muda berbakat seperti Fabio Quartararo dan Franco Morbidelli.

Pengumuman itu akhirnya menjawab persoalan peminat sukan permotoran Malaysia mengenai jenama baru pasukan SRT.

Bagaimanapun Razlan tidak mendedahkan secara terperinci berhubung maksud sebenar yang dari singkatan RNF itu dan siapakah penaja utama pasukannya yang akan diumumkan sedikit masa lagi.

"Di bawah jenama baru ini, pasukan yang dijenamakan semula akan meneruskan usaha dan 'blueprint' yang sebelum ini terbukti berkesan.

"Terima kasih saya ucapkan kepada Ketua Pegawai Eksekutif Dorna Sports, Carmelo Ezpeleta kerana memberi kepercayaan kepada saya membentuk pasukan baru di MotoGP bagi tempoh lima tahun akan datang.

"Besertakan pengalaman yang diraih sebelum ini, kami amat berharap pasukan akan bertambah kuat untuk musim akan datang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 September 2021 @ 6:49 PM