LITAR Antarabangsa Sepang. FOTO Mohd Fadli Hamzah
LITAR Antarabangsa Sepang. FOTO Mohd Fadli Hamzah
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Tiada lagi kerjasama antara Litar Antarabangsa Sepang (SIC) dan Petronas selepas gergasi minyak Malaysia itu memutuskan untuk menamatkan kerjasama sebagai penaja Sepang Racing Team (SRT) pada penghujung musim MotoGP ini.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SIC, Azhan Shafriman Hanif dalam satu kenyataan mengucapkan terima kasih kepada Petronas dalam jalinan kerjasama sejak 2018.

"SIC ingin mengucapkan terima kasih kepada Petronas menerusi jalinan yang terjalin selama ini.

"Kami menghormati keputusan Petronas dan di pihak SIC sudahpun mencapai objektif yang ditetapkan.

"Kami menikmati jalinan kerjasama yang bermakna dengan pencapaian hebat yang pasti tidak dapat dilupakan. Tapi saya percaya ini bukan pengakhiran kerjasama dalam sukan permotoran.

"SIC akan meneruskan usaha dalam membangunkan bakat muda dan bakat baru dalam sukan permotoran negara," katanya.

Terdahulu, Prinsipal pasukan Petronas Sepang Racing Team, Datuk Razlan Razali memaklumkan beliau enggan memberi sebarang komen lanjut berhubung perkara itu.

"Maaf semua kerana tidak dapat memberi maklum balas dan menjawab persoalan ini mengenai laporan berkenaan Petronas. Kami sebagai pasukan akan membuat pengumuman mengenai hala tuju pasukan sebelum GP Silverstone untuk tiga tahun akan datang," katanya.

SRT melakukan penampilan pertama pada 2015 di kelas Moto3 sebelum melebarkannya ke kelas Moto2.

Pada 2019, SRT mengorak langkah memperkenalkan pasukan MotoGP sebagai pasukan satelit Yamaha dengan menggunakan khidmat pelumba Fabio Quartararo serta juara dunia Moto2 2017, Franco Morbidelli.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 Ogos 2021 @ 2:38 PM