PELUMBA negara, Hafizh bersalaman dengan Pengarah Primavalet, Arshad pada Majlis Menandatangani Perjanjian Kolaborasi antara Primavalet bersama Hafizh di Kuala Lumpur. FOTO Aizuddin Saad
PELUMBA negara, Hafizh bersalaman dengan Pengarah Primavalet, Arshad pada Majlis Menandatangani Perjanjian Kolaborasi antara Primavalet bersama Hafizh di Kuala Lumpur. FOTO Aizuddin Saad
Saiful Affendy Sapran


TIADA erti berputus asa di hati pelumba Moto2 negara, Hafizh Syahrin Abdullah meskipun mengesahkan masih tercari-cari penaja utama untuknya bersaing pada Kejohanan Motosikal Dunia musim ini.

Ketika saingan akan membuka tirai kurang dua bulan pada pusingan pertama di Qatar 8 Mac depan, raut wajah Hafizh tetap tenang sambil mengharapkan tajaan itu akan hadir satu hari nanti.

Jelas Hafizh, pintu sentiasa terbuka untuk mana-mana pihak tampil menajanya walaupun ia hadir pada pertengahan musim.

“Saya boleh katakan segala-galanya kini masih dalam perbincangan. Sekarang saya hanya menunggu (maklumbalas).

“Mungkin jika saya beraksi dengan baik, pada pertengahan musim akan ada penaja yang tampil untuk menaja saya.

“Sebab itu saya masih terbuka menerima mana-mana syarikat yang berminat untuk menaja saya," katanya.

Hafizh yang akan beraksi bersama pasukan Aspar pada musim baru nanti mengesahkan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan turut bersama-sama membantunya pada musim baru nanti.

Namun katanya, KBS tidak hadir selaku penaja utama, sebaliknya lebih kepada tajaan sokongan yang sedikit sebanyak dapat meringkankan bebannya.

“Saya tidak mengharapkan satu 'rumah yang sangat besar' datang kepada saya. Tapi kehadiran KBS sedikit sebanyak membantu saya seperti dapat menggunakan kemudahan di ISN (Insitut Sukan Negara) dan menjalani latihan di Eropah.

“Pendek kata KBS membantu saya untuk meneruskan saingan pada musim ini," katanya.

Hafizh ditemui pada majlis memperkenalkannya sebagai duta untuk salah satu pemain industri fesyen terkenal, Primavalet yang turut dihadiri oleh Pengarah Urusan, Dr Arshad Beg.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 January 2020 @ 7:49 PM