BRAWN puji Hamilton dan Verstappen dalam saingan F1 2020. FOTO Agensi
BRAWN puji Hamilton dan Verstappen dalam saingan F1 2020. FOTO Agensi
Agensi

London: Pengarah Urusan Formula 1, Ross Brawn memuji prestasi Lewis Hamilton yang meraih kejuaraan keseluruhan tahun ini, manakala Max Verstappen pula dilihat semakin matang.

Brawn ditanya mengenai pemandu mana yang menjadi pilihannya tahun ini dan beliau tidak dapat menyangkal lagi kemampuan Hamilton.

"Saya rasa pilihan tepat ialah Lewis. Dalam masa yang sama dia sudah meletakkan penanda aras yang baru untuk kejuaraan dunia," kata Brawn.

Selepas menyamai rekod Michael Schumacher tujuh kejuaraan dunia, pelumba Mercedes itu membuktikan penguasaan dengan meraih 11 kejuaraan walaupun Brawn menegaskan jumlah berkenaan tidak menggambarkan kesimpulan secara keseluruhan.

"Saya rasa ia sangat mudah untuk semua orang mengatakan dia mempunyai jentera terbaik. Ia adalah tugas mudah namun tidak seperti yang digambarkan. Dia memenangi perlumbaan yang tidak sepatutnya dia muncul juara.

"Kita lihat saja di Turki, perlumbaan paling sukar tahun ini dan dia perlahan-lahan menyesuaikan diri dan bila mendapat peluang terus memburu untuk meraih kemenangan.

"Dia hanya mengesahkan apa yang kita sudah jangka, iaitu dia seorang pelumba yang hebat. Dia berada dalam kelompok kumpulan pelumba seperti Schumacher dan Senna. Tidak boleh disangkal lagi," kata Brawn.

Bagi Verstappen pula Brawn melihat pelumba Red Bull itu menunjukkan peningkatan walaupun beberapa tahun kebelakangan ini perancangan pasukan berkenaan tidak seperti yang dirancang.

"Saya rasa Max semakin matang tahun ini. Jika hendak dibandingkan dengan Max beberapa tahun sebelum ini. Dia kurang bernasib baik tahun ini. Beberapa kali jenteranya tidak dapat beraksi dengan baik dan terbabit dalam kemalangan yang bukan disebabkan dirinya sendiri," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Disember 2020 @ 2:45 PM