LEWIS Hamilton. FOTO AFP
LEWIS Hamilton. FOTO AFP
Agensi

London: Pengarah Urusan Formula Satu (F1), Ross Brawn yakin Lewis Hamilton sekurang-kurangnya mampu memenangi 20 perlumbaan lagi selepas meraih kemenangan ke-100 dalam kariernya di Grand Prix (GP) Russia.

Hamilton memenangi perlumbaan itu dengan penuh dramatik selepas hujan di lewat saingan memberi kelebihan kepadanya.

Menduduki tempat kedua di belakang Lando Norris, Hamilton memilih untuk menukar tayar manakala Norris kekal dengan tayar sedia ada.

Situasi litar yang bertambah licin memihak kepada Hamilton manakala Norris terus bergelut akibat kesalahan pemilihan tayar.

Brawn mengakui beliau tidak pernah menjangkakan ada mana-mana pemandu yang mampu mengatasi rekod 91 kemenangan di raih Michael Schumacher.

"Ia adalah kejayaan yang tidak pernah dijangka oleh sesiapa pun," kata Brawn.

"91 kemenangan di raih Michael adalah rekod tertinggi ketika zaman itu dan tiada yang pernah membayangkan ada yang mampu mengatasinya.

"Tapi Lewis menewaskanya dan kini meraih 100 kemenangan. Tiada sesiapa yang mampu menghentikannya.

"Saya tidak rasa dia mampu memenangi 200 perlumbaan tetapi saya jangkakan dia boleh memenangi 20 perlumbaan lagi."

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 September 2021 @ 1:54 PM