AHMAD Faizal menyaksikan pertukaran Deklarasi dan Penerimaan Peraturan Anti-Doping Adamas 2021 di antara Presiden Majlis Paralimpik Malaysia, Datuk Seri Megat D  Shahriman Zaharudin (kanan) dan wakil Presiden Majlis Olimpik Malaysia, Datuk Dr Surinder Singh Cheema (kiri)  di Hotel Tenera, Bangi.  FOTO Azhar Ramli
AHMAD Faizal menyaksikan pertukaran Deklarasi dan Penerimaan Peraturan Anti-Doping Adamas 2021 di antara Presiden Majlis Paralimpik Malaysia, Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin (kanan) dan wakil Presiden Majlis Olimpik Malaysia, Datuk Dr Surinder Singh Cheema (kiri) di Hotel Tenera, Bangi. FOTO Azhar Ramli
Saiful Affendy Sapran


Bangi: Atlet dan pegawai sukan tanah air perlu mematuhi kod dan peraturan antidoping dunia supaya Malaysia tidak berada dalam senarai hitam seperti Thailand dan Indonesia.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, apa yang berlaku kepada kedua-dua negara itu perlu dijadikan iktibar kerana jika itu berlaku, ia hanya akan merugikan negara.

"Bukan setakat kita hilang kelayakan menganjurkan sebarang kejohanan sukan di peringkat antarabangsa, malah atlet negara tidak dibenarkan untuk mengibarkan bendera di mana-mana kejohanan sukan di peringkat antarabangsa.

"Justeru, semua pihak perlu memainkan peranan penting dalam memastikan negara kita sentiasa dalam kedudukan patuh (compliant)," katanya.

Jelas Ahmad Faizal, pihaknya amat memberi penegasan berhubung perkara itu dan sentiasa memberi peringatan kepada atlet serta pihak persatuan sukan.

"Kerajaan tidak mampu untuk menangani perkara ini secara bersendirian. Semua persatuan mesti bekerjasama dengan Adamas (Agensi Anti-Doping Malaysia) dan juga Kementerian Belia dan Sukan.

"Saya harap ia tidak akan berlaku langsung kepada negara kita," katanya selepas merasmikan Seminar Anti-Doping Kebangsaan, hari ini.

Beliau turut meminta persatuan sukan melaporkan segala salah laku dan pelanggaran peraturan anti-doping membabitkan atlet dan pegawai kepada Adamas.

Agensi Anti-Doping Dunia (Wada) awal bulan ini mengumumkan Anti Doping Kebangsaan Korea Utara dan Indonesia tidak mematuhi peraturan badan induk itu kerana tidak melaksanakan program ujian yang berkesan.

Thailand pula diumumkan tidak mematuhi selepas gagal melaksanakan sepenuhnya kod anti-doping 2021. Atlet dari negara yang dimaksudkan masih boleh bertanding tetapi bendera kebangsaan mereka tidak dibenarkan untuk dikibarkan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Oktober 2021 @ 8:14 PM