NELLY pemain gol wanita nombor satu dunia.
NELLY pemain gol wanita nombor satu dunia.
Agensi

London: Nelly Korda menarik diri daripada Jelajah LPGA minggu ini untuk berehat seketika selepas menjuarai gelaran utama keduanya di Kejohanan Chevron.

Kemenangan pada Isnin lalu membolehkan pemain Amerika Syarikat (AS) itu meraih kejayaan kelima berturut-turut sekali gus menyamai pencapaian Nancy Lopez pada 1978 dan Annika Sorenstam pada 2004-05.

"Selepas berdepan cabaran mental dan fizikal dalam empat kejohanan sepanjang tempoh lima minggu lalu, saya berasa sangat penat," kata pemain nombor satu dunia itu di laman X, semalam.

"Dengan banyak lagi cabaran menanti tahun ini, saya rasa perlu mendengar tubuh ini dan mendapatkan sedikit rehat. Jadi saya boleh bersedia untuk baki aksi musim ini."

Kejayaan Nelly bermula dengan menjuarai LPGA Drive On Championship pada Januari lalu. Pemain berusia 25 tahun kemudiannya berehat tujuh minggu sebelum kembali pada Mac dan menang tiga kejohanan dalam tempoh tiga minggu - Kejohanan Fir Hills Seri Pak, Kejohanan Ford dan T-Mobile Match Play serta Kejohanan Chevron Isnin lalu.

Menurut Nelly, dia akan memberikan sokongan kepada semua pemain di tepi lapangan pada Kejohanan LA JM Eagle minggu ini.

Dia dijadualkan tampil semula di Jelajah LPGA pada Piala Cognizant Founders di New Jersey bermula 9 Mei.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 April 2024 @ 10:46 AM