AKSI penamat separuh maraton Beijing yang penuh kontroversi. FOTO Reuters
AKSI penamat separuh maraton Beijing yang penuh kontroversi. FOTO Reuters
AFP

Beijing: Pemenang podium separuh maraton Beijing dilucutkan pingat mereka, kata penganjur, berikutan siasatan terhadap penamat yang menyaksikan He Jie dari China menang secara kontroversi.

Penamat pelik perlumbaan itu menyaksikan He Jie melepasi garisan penamat terlebih dahulu selepas pelari Kenya, Robert Keter dan Willy Mnagat, dan Dejene Hailu dari Ethiopia, seolah-olah sengaja membenarkan dia menang.

Rakaman penamat perlumbaan itu menjadi tular.

"Hari ini Jawatankuasa Penganjur Separuh Maraton Beijing 2024 mengeluarkan keputusan mengenai penyiasatan dan pengendalian keputusan perlumbaan kategori lelaki," kata laporan media kerajaan.

Ia menambah: "Piala, pingat dan bonus pemenang akan dilucutkan."

Empat pelari itu berada dalam kelompok yang sama sepanjang perlumbaan lebih 21 kilometer di sekitar jalan raya di ibu negara China.

Bagaimanapun, He Jie, pemenang pingat emas maraton Sukan Asia 2023, menang dengan kelebihan satu saat selepas pesaingnya kelihatan perlahan menuju penamat.

Keempat-empat mereka 'dihukum' dan keputusan mereka dibatalkan, lapor CCTV penyiar negara China.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 April 2024 @ 9:16 PM