ZHENG (kanan) bersama trofi dimenanginya. FOTO AFP
ZHENG (kanan) bersama trofi dimenanginya. FOTO AFP
AFP

Shanghai: Zheng Qinwen merangkul kejuaraan keduanya dan yang pertama di tanah air sendiri selepas memenangi Terbuka Zhengzhou, semalam.

Pemain sensasi berusia 21 tahun itu menamatkan minggu yang luar biasa dengan kemenangan 2-6, 6-2, 6-4 ke atas pilihan ketujuh dari Czech, Barbora Krejcikova.

Kemenangan itu sekali gus menyaksikannya muncul pemain wanita China ketiga yang memenangi gelaran perseorangan di peringkat WTA 500 atau lebih tinggi, selepas Li Na dan Zheng Saisai.

Tahun ini kali pertama dalam sejarah Jelajah WTA apabila tiga pemain wanita China memenangi gelaran perseorangan dalam satu musim, dengan Zhu Lin menang di Hua Hin, Wang Xiyu di Guangzhou dan Zheng merangkul trofi pertamanya di Palermo pada Julai lalu.

Selepas memenangi pingat emas Sukan Asia pada 29 September lalu, Zheng yang berada di ranking ke-24 dunia mengalami kekalahan mengecewakan seawal pusingan pertama pada Terbuka China kepada Elena Rybakina, tetapi dia kembali bangkit untuk meraih gelaran terbesar dalam kariernya.

"Ia adalah pengalaman istimewa dapat memenangi (kejohanan peringkat) 500 pertama saya di China, terutamanya di Zhengzhou," kata Zheng, yang akan kembali ke kedudukan 20 teratas.

"Sudah pasti hari yang sukar bagi saya tetapi ia adalah minggu yang hebat," kata Barbora yang memburu gelaran ketiga musim ini daripada empat aksi final.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Oktober 2023 @ 10:07 AM