Siti Rohana Idris


Kota Bharu: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) meluluskan dana sebanyak RM500,000 untuk penganjuran sukan komuniti di negeri ini.

Menterinya, Hannah Yeoh berkata, dana itu adalah daripada RM20 juta yang diluluskan oleh Kementerian Kewangan (MoF) untuk mempergiatkan sukan dalam komuniti seluruh negara.

"Agensi, persatuan belia sukan, badan bukan kerajaan (NGO), Kawasan Rukun Tetangga (KRT) dan penduduk boleh memohon kepada Jabatan Belia dan Sukan untuk menganjurkan sukan komuniti.

"Sebanyak RM500,000 diluluskan untu dibelanjakan dalam enam bulan ini. Contohnya, permainan gasing yang disenaraikan dalam 103 sukan di bawah Akta Pembangunan Sukan yang boleh dimanfaatkan.

"Kita menggesa agar sesiapa yang berminat boleh membuat permohonan tapi pastikan penganjuran itu nanti mendapat banyak penyertaan," katanya selepas pelancaran Hari Belia Negara peringkat Negeri Kelantan di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan NGO Negeri Kelantan, Wan Roslan Wan Hamat.

YEOH (belakang, enam kiri) menyampaikan Anugerah Perdana Belia Negara kepada barisan pemenang. FOTO Siti Rohana Idris
YEOH (belakang, enam kiri) menyampaikan Anugerah Perdana Belia Negara kepada barisan pemenang. FOTO Siti Rohana Idris

Mengulas mengenai Program Rakan Muda yang bakal dilancarkan minggu hadapan oleh Perdana Menteri di Bangi, Selangor, Hannah berkata, program yang diperkenalkan sejak 1990-an itu diberi nafas baharu.

"Program itu akan mempunyai 10 teras dan akan diumumkan PM nanti pada hari pelancaran dan kita akan masukkan semua program yang membabitkan belia," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Jun 2023 @ 6:21 PM