PELATIH Akademi Ragbi Terengganu melapor diri di asrama SMK Belara bagi menyertai program pembangunan ragbi negeri. FOTO PRNT
PELATIH Akademi Ragbi Terengganu melapor diri di asrama SMK Belara bagi menyertai program pembangunan ragbi negeri. FOTO PRNT
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Persatuan Ragbi Negeri Terengganu (PRNT) terus mengorak langkah apabila menambah sebuah lagi Akademi Ragbi Terengganu (ART) baharu bertempat di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Belara, Manir, dekat sini.

Yang Dipertua PRNT, Amir Amri Mohamad berkata, penubuhan ART kedua selepas SMK Sultan Sulaiman itu memberi penanda aras baharu bagi program pembangunan sukan ragbi bermula daripada peringkat akar umbi di negeri itu, khususnya membabitkan pelajar sekolah.

Beliau berkata, ia melengkapkan ekosistem program pembangunan dirangka PRNT dan selain PRNT, turut menjadi pemegang taruh penubuhan akademi ini sejak 2014 adalah Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) dan Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT).

"Selain membekalkan jurulatih berkualiti dan berpengalaman besar di pentas antarabangsa, program ART itu turut menyumbang beberapa keperluan pasukan ragbi termasuk menyediakan guru tuisyen kelas pembelajaran tambahan bagi memastikan kebajikan dan pencapaian akademik pelatih terjaga.

"ART kedua itu membabitkan 31 pelatih sepenuh masa dan diharap mampu melahirkan lebih ramai lagi atlet berbakat besar yang bukan sahaja mampu menyemarakkan ragbi di Terengganu, malah peringkat kebangsaan," kata Amir Amri yang juga Timbalan Presiden Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM).

Sementara itu, bapa kepada seorang pelatih, Mohd Nazri Mohd Ramli bersyukur dan berterima kasih kepada pihak persatuan yang mewujudkan ART kedua di Terengganu.

"Saya berterima kasih kewpada pihak PRNT dan ART kerana menerima anak saya sebagai pelatih bagi 2023 ini.

"Anak saya memang meminati ragbi sejak sekolah rendah lagi, jadi sebagai bapa, saya amat berbangga kerana akademi ini turut menekankan pembelajaran di dalam kelas serta akademik," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Jun 2023 @ 3:53 PM