SARAH tidak mahu mengambil risiko untuk turun beraksi di Thailand. FOTO Bernama
SARAH tidak mahu mengambil risiko untuk turun beraksi di Thailand. FOTO Bernama
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Atlet lompat bergalah negara Nor Sarah Adi terpaksa membuat keputusan yang cukup berat apabila menarik diri daripada menyertai Kejohanan Olahraga Asia di Pattaya, Thailand dari 12 hingga 16 Julai ini.

Keputusan terbabit terpaksa diambil bagi memberi fokus kepada pemulihan akibat kecederaan koyak ligamen kaki kanan yang menyebabkannya sekadar berpuas hati meraih pingat perak Sukan Sea Kemboja 2023 di Phnom Penh awal Mei lalu.

Sarah berkata, dia tidak mahu mengambil risiko untuk turun beraksi di Thailand ketika keadaannya belum lagi pulih 100 peratus sekali gus boleh berdepan kecederaan lebih buruk lagi.

"Sekarang baru 70 hingga 80 peratus proses pemulihan, jadi saya buat keputusan tolak ke Kejohanan Asia sebab takut kecederaan yang lebih serius. Saya yakin sempat pulih sebelum ke Sukan Universiti Dunia (WUG).

"Kejohanan Asia sebenarnya lebih kepada pendedahan persiapan ke Sukan Asia Hangzhou di China pada September nanti. Di WUG nanti pun saya boleh buat juga kerana berlawan dengan atlet handalan dunia," katanya.

Pemenang pingat emas Sukan Sea Hanoi 2021 itu yakin mendapatkan rentak terbaik sebelum turun menghadapi WUG 2023 yang akan berlangsung di Chengdu, China dari 28 Julai hingga 8 Ogos depan.

Justeru, Sarah berharap tempoh masa ada sekarang dapat digunakan sebaiknya untuk menyesuaikan diri dengan galah baharu yang akan sampai awal bulan ini.

"Sekarang catatan terbaik saya 4.05 meter (m) iaitu kategori B dan saya perlu lakukan 4.10m untuk Kategori A ke Sukan Asia Hangzhou nanti. Saya ada lebih kurang sebulan untuk sesuaikan diri," katanya.

Selain Sarah, beberapa nama besar arena olahraga juga tidak bertanding pada Kejohanan Asia seperti pemegang rekod 400m wanita kebangsaan, Shereen Samson Vallabouy yang kini berada di Amerika Syarikat.

Dua atlet lompat tinggi iaitu dua pemenang pingat gangsa Sukan Sea, Mohamad Eizlan Dahalan dan Farell Glen Felix Jerus selain pelari pecut 100m wanita, Nur Aishah Rofina Aling juga tidak mengambil bahagian.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Jun 2023 @ 2:43 PM