UMAR pernah menggunakan kasut bundle berharga RM50 ketika berlatih. FOTO FATHIL ASRI
UMAR pernah menggunakan kasut bundle berharga RM50 ketika berlatih. FOTO FATHIL ASRI
Wan Izzati Amir


Kuala Lumpur: Memakai kasut 'bundle' ketika latihan adalah antara kisah yang tidak dapat dilupakan atlet pecut muda negara, Umar Osman.

Atlet muda berusia 20 tahun itu berjaya memenangi pingat emas dan memecahkan rekod kebangsaan acara pecut 400 meter (m) lelaki di Sukan Sea Kemboja baru-baru ini.

Anak kedua itu juga terpaksa melupakan hasrat memenuhi impian ayahnya untuk melihat dia bermain bola sepak apabila bakatnya lebih menyerlah dalam bidang olahraga.

"Semasa saya berumur 18 tahun saya tak nak susahkan mak dan ayah jadi saya beli kasut 'sneakers' yang harganya sekitar RM50.

"Saya tak tahu kasut sukan sebenarnya mempunyai banyak fungsinya mengikut jenis sukan dan hanya pakai kasut 'sneakers' itu.

"Disebabkan saya salah pakai kasut semasa latihan saya tercedera dan perlu mengambil masa selama enam bulan untuk pulih semula," katanya.

Menurut atlet berketinggian 182 sentimeter itu pemilihan kasut yang sesuai dengan jenis aktiviti yang akan dilakukan sangat penting untuk keselesaan dan keselamatan bagi mengelakkan kecederaan.

Umar turut berkongsi bahawa setiap atlet pasti pernah rasa tertekan malah dia juga pernah menjatuhkan air mata semasa latihan namun tidak pernah berhenti untuk berusaha.

"Saya pernah terkilan kerana tidak pernah terpilih mewakili Johor untuk ke Kejohanan Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) selepas tiga tahun mencuba.

"Kalau ikutkan tahun ketiga saya dapat wakil negeri tapi pandemik pula tahun itu. Selepas berlatih tanpa putus asa saya tidak sangka dapat mewakili negara ke Sukan Sea tahun ini.

"Sebagai atlet muda mungkin ramai yang tak percaya akan kebolehan saya pada awalnya tapi yang penting saya simpan niat daripada awal untuk buat sehabis baik," katanya.

Atlet muda itu turut menyimpan impian yang besar untuk bersinar di pentas yang lebih tinggi dan tidak mahu dianggap hanya sebagai juara kampung sahaja.

"Saya sanggup mengambil risiko untuk pergi lebih jauh. Jika ada sebarang tawaran saya akan cuba yang terbaik dan akan mempertimbangkan dan berbincang dengan jurulatih saya," katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Mei 2023 @ 4:32 PM