SITI RAHMAH (kiri) ketika mewakili negara di Kejohanan Silat Dunia. -FOTO NSTP
SITI RAHMAH (kiri) ketika mewakili negara di Kejohanan Silat Dunia. -FOTO NSTP
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Bekas srikandi silat negara yang kini bergelar jurulatih, Siti Rahmah Mohamed Nasir bersyukur apabila anak didiknya berjaya menyumbang pingat melebihi sasaran yang ditetapkan pada temasya Sukan Sea di Kemboja baru-baru ini.

Malah beliau yang kini bergelar jurulatih sepenuh masa skuad silat kebangsaan berkata, kejayaan merangkul empat pingat emas dan masing-masing lima perak dan gangsa pada temasya itu membuktikan atlet sukan tempur negara semakin meningkat prestasinya.

Bekas juara dunia sebanyak empat kali dan Olahragawati Kebangsaan 2016 kelahiran Kuala Terengganu itu bersama dua lagi jurulatih kebangsaan pada temasya Sukan SEA itu iaitu Nasri Nasir dan Fauzi Khalid bagaimanapun enggan mendabik dada atas pencapaian terbaik di pentas sukan dwitahunan itu.

Sebaliknya, anak kepada bekas legenda bola sepak Terengganu, negara dan skuad kebangsaan Singapura, Allahyarham Mohamed Nasir Jalil itu akui masih banyak yang perlu diperbaiki dan diperkemaskan lagi menjelang Kejohanan Asean dan Kejohanan Dunia pada tahun ini.

"Alhamdulillah syukur selepas kita berjaya melepasi sasaran dan melebihi target pada temasya Sukan Sea di Kemboja baru-baru ini selepas atlet kita menghadiahkan empat pingat emas dan masing-masing lima perak dan gangsa berbanding sasaran awal dua emas.

"Namun kejayaan ini tidak datang bergolek, ia hasil kerja keras dan sokongan semua pihak terutama daripada Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka), Majlis Sukan Negara (MSN), Institut Sukan Negara (ISN) dan semua yang terbabit termasuk barisan kejurulatihan, pengurusan, ibu bapa dan atlet itu sendiri.

"Sejujurnya kami bangga dengan semangat tinggi yang diperagakan atlet yang memberi sepenuh hati dengan fokus sepanjang temasya di Kemboja itu walaupun ada cabaran dan dugaan yang terpaksa diharungi termasuk berkaitan kecederaan, mohon doakan kami terus berjaya," ujarnya.

Mengulas lanjut, Siti Rahmah yang bergelumang dalam sukan seni mempertahankan diri itu hampir 15 tahun menjelaskan fokusnya kini adalah untuk membantu atlet dalam Kejohanan Asean di Thailand dan Kejohanan Dunia di Indonesia masing-masing pada November depan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Mei 2023 @ 1:22 PM