AHMAD Razif   (tengah) bersama juara  silat dunia  di Wisma Darul Iman.
AHMAD Razif (tengah) bersama juara silat dunia di Wisma Darul Iman.
Helmy Abd Rahman


Kuala Terengganu: Kecemerlangan prestasi dua pesilat anak jati Terengganu yang mewakili Malaysia membawa pulang dua emas pada Kejohanan Pencak Silat Dunia 2016 di Bali, Indonesia baru-baru ini mendapat pengiktirafan kerajaan negeri apabila masing-masing dianugerahkan RM16,500 dan satu lot tanah setiap seorang.

Dalam kejohanan berlangsung pada 5 hingga 10 Disember lalu, dua pesilat berkenaan Razak Ghazali dan Siti Rahmah Mohd Nasir memenangi emas kategori masing-masing.

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman yang mengumumkan pemberian insentif itu berkata, ia sebagai galakan kepada atlet sukan negeri berkenaan untuk terus mengharumkan nama di peringkat antarabangsa sekali gus meletakkan Terengganu di mata dunia.

“Dalam mesyuarat Exco hari ini (semalam), kerajaan negeri memutuskan mengurniakan satu lot tanah seorang kepada Razak dan Siti Rahmah kerana mengharumkan nama negara dan Terengganu di peringkat antarabangsa.

“Kami juga bersetuju memasukkan sukan silat sebagai sukan teras atau yang menjadi tumpuan di Terengganu seterusnya menjadi antara produk pelancongan di negeri ini.

“Selain itu, kita mungkin memasukkan sukan permotoran sebagai sukan teras yang dilihat berpotensi membuka peluang kerjaya kepada anak Terengganu,” katanya selepas menyampaikan ganjaran kepada ke atlet, semalam.

Siti Rahmah yang juga anak pemain bola sepak Terengganu Allahyarham Nasir Jalil turut dinobatkan pesilat wanita terbaik di kejohanan.

Dia yang memenangi kategori Kelas E Putri sebelum ini pernah merangkul emas Sukan SEA 2015.

“Fokus saya kini lebih tertumpu kepada persediaan Sukan SEA 2017 Kuala Lumpur dan Sukan Asia 2018,” katanya.

Razak yang meraih pingat emas dalam Kelas Putra D berharap dapat meneruskan kecemerlangan bagi mengharumkan nama negara pada masa akan datang.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Disember 2016 @ 8:47 AM