PEMAIN Malaysia, Suet Ying (no 24) diasak pertahanan Filipina  di Kompleks Sukan Morodok. FOTO Fathil Asri
PEMAIN Malaysia, Suet Ying (no 24) diasak pertahanan Filipina di Kompleks Sukan Morodok. FOTO Fathil Asri

Phnom Penh: Pasukan bola keranjang wanita negara sekali lagi terpaksa berpuas hati dengan pingat gangsa selepas tewas 77-63 kepada Filipina di Sukan Sea Kemboja hari ini.

Pasukan negara memenangi gangsa di Sukan Sea Hanoi 2021 dan berharap dapat menukar warna pingat selepas Filipina dipintas Indonesia yang meraih emas dalam pertandingan liga sepusingan itu.

Indonesia muncul juara kumpulan dengan 12 mata dan menang kesemua enam perlawanan manakala Filipina kedua dengan 11 mata dan Malaysia 10 mata mendapat gangsa.

Pemain negara Chong Yin Yin yang tampil kali keempat di temasya dua tahun sekali itu berkata, dia kecewa gagal memperbaiki pencapaian Sukan Sea lalu.

"Memang teruk kerana kami berazam mendapat keputusan lebih baik (perak), perbezaan mata tidak jauh. Namun prestasi keseluruhan bertambah baik berbanding ketika Liga Bolakeranjang Wanita Sea, kami meningkat 60-70 peratus," kata pemenang pingat emas di temasya KL 2017.

Pemain berusia 30 tahun itu turut berkata dia akan terus bermain selagi khidmatnya diperlukan dan ketahanan mental amat penting ketika beraksi untuk negara.

"Rakan sepasukan dan jurulatih memberikan saya perasaan beraksi kompetitif, umur bukan masalah. Mentaliti paling penting, perlu merendah diri.

"Saya boleh dianggap veteran, jadi sekarang perlu mengikuti jejak pemain muda dan kemahiran moden," katanya lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Mei 2023 @ 5:40 PM