HAMIDIN (kanan) berswafoto dengan pegawai dan pemain ketika melawat sesi latihan skuad badminton negara di ABM, Bukit Kiara, hari ini.
HAMIDIN (kanan) berswafoto dengan pegawai dan pemain ketika melawat sesi latihan skuad badminton negara di ABM, Bukit Kiara, hari ini.
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: "Saya percaya apa jenis sukan boleh (memenangi emas pertama Malaysia). Namun, saya meletakkan sasaran untuk mendapatkan lebih banyak perak dan gangsa."

Demikian tegas ketua kontinjen negara (CDM), Datuk Hamidin Mohd Amin yang akan berusaha sebaik mungkin memastikan Malaysia menamatkan penantian memenangi pingat emas sulung di Sukan Olimpik Paris 2024.

Jelas Hamidin, sasaran itu mampu dicapai jika semua pihak bekerja keras bagi merealisasikan impian seluruh rakyat Malaysia itu.

"Siapa yang kenal saya tahu apabila saya diberi jawatan ini, saya bukan jenis orang bekerja separuh hati.

"Saya adalah orang yang sangat positif dan akan bekerja sehinggalah hari kemuncaknya nanti.

"Saya yakin, kalau kita bekerja keras…insya-Allah rezeki itu Allah akan bagi, tiada apa yang mustahil.

"Lagipun, kita ada peluang pada 2016, tetapi belum rezeki dan masanya lagi waktu itu. Saya sedar bukan mudah, tetapi kalau kita bekerja keras, tiada apa yang mustahil," katanya yang juga Timbalan Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM).

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas mengadakan lawatan ke sesi latihan skuad badminton di Akademi Badminton Malaysia (ABM) di Bukit Kiara, di sini, hari ini.

Sejak menyertai Sukan Olimpik buat kali pertama di Melbourne, Australia pada 1956, kontinjen negara belum pernah memenangi emas dengan pencapaian terbaik adalah pada edisi 2016 di Rio de Janeiro, Brazil apabila membawa pulang empat perak dan satu gangsa.

Ketika itu, badminton menyumbang tiga perak menerusi Datuk Lee Chong Wei (perseorangan lelaki), Goh V Shem-Tan Wee Kiong (beregu lelaki) dan Chan Peng Soon-Goh Liu Ying (beregu campuran) manakala gandingan Datuk Pandelela Rinong-Cheong Jun Hoong meraih perak bagi sukan terjun dalam acara 10 meter platform seirama.

Jaguh berbasikal trek, Datuk Azizulhasni Awang pula menyumbang satu gangsa dalam acara keirin.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 April 2023 @ 5:30 PM