WAWRINKA tersingkir di pusingan pertama di Rotterdam. FOTO EPA
WAWRINKA tersingkir di pusingan pertama di Rotterdam. FOTO EPA
AFP

Rotterdam: Stan Wawrinka tersingkir di Kejohanan ATP Rotterdam apabila tumpas di pusingan pertama 4-7, 5-7 kepada lawan dari Russia, Karen Khachanov.

Juara Grand Slam tiga kali itu, yang beraksi buat kali pertama selepas tumpas dalam aksi epik lima set kepada Marton Fucsovics di Terbuka Australia, kalah kepada pemain nombor 21 dunia, Khachanov.

Khachanov yang terkenal dengan pukulan deras mara dengan tidak melepaskan sebarang servis ketika menentang pilihan kelapan itu.

Pemain berusia 24 tahun itu akan berdepan wakil dari pusingan kelayakan dari Britain, Cameron Norrie untuk aksi 16 terakhir.

Rakan senegara, Khachanov dan juga pilihan keempat, Andrey Rublev juga mara ke pusingan seterusnya apabila menang 7-6 (8/1), 6-3 ke atas pemain Amerika Syarikat, Marcos Giron.

Pemain Russia yang berada pada prestasi terbaik itu akan berdepan bekas jaguh nombor satu dunia, Andy Murray di pusingan kedua.

"Andy adalah legenda sebenar dan saya mempunyai hubungan yang baik dengannya.

"Saya sangat senang dengannya baik di luar mahupun di dalam gelanggang. Dia pernah mengalahkan saya sekali (pusingan kedua Terbuka Australia 2017 6-3, 6-0, 6-2)," kata Rublev.

Pilihan kedua, Stefanos Tsitsipas mara ke pusingan kedua selepas menang 7-6 (7/4), 7-5 ke atas pemain Belarus, Egor Gerasimov.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Mac 2021 @ 2:29 PM