NUR Izazi dan Ikhmal Syafiq meraih pingat emas acara 10m air rifle berpasukan campuran.
NUR Izazi dan Ikhmal Syafiq meraih pingat emas acara 10m air rifle berpasukan campuran.
Affan Rostam


Kuala Lumpur: Gandingan penembak dari Wilayah Persekutuan (WP), Ikhmal Syafiq Mat Zuki dan Nur Izazi Rosli meraih pingat emas terakhir sukan menembak dalam Sukan Malaysia (Sukma) 2022, hari ini.

Pertandingan yang berlangsung di Lapang Sasar Menembak Nasional, Subang itu menyaksikan Ikhmal Syafiq-Nur Izazi berjaya mengatasi gandingan dari Pahang, Zaffin Kushairie Mohd Azman dan Shalyn Najjihah Muhamad Sharif 17-9 di pentas akhir acara 10 meter (m) air rifle berpasukan campuran.

Lebih manis, ia juga menjadi pingat emas terakhir buat kedua penembak terbabit memandangkan ia penampilan terakhir mereka dalam Sukma.

Nur Izazi, 22, menjelaskan kejayaan itu hasil usaha kerasnya selain dibantu sokongan padu dari jurulatih, keluarga dan rakan sepasukan.

"Pingat emas ini istimewa sebab ia Sukma terakhir saya, jadi saya dapat lepaskan geram daripada Sukma sebelum ini," katanya.

Sementara itu, Ikhmal mengakui dia sangat gembira apabila berjaya meraih dua pingat termasuk satu emas dan satu gangsa untuk Sukma kali ini selepas berdepan kekecewaan dalam Sukma edisi yang lalu.

"Ini pun Sukma terakhir saya, sebelum ini memang tak ada pencapaian yang baik. Tapi untuk dua acara yang saya sertai kali ini, kedua-duanya dapat pingat.

"Terima kasih kepada jurulatih, keluarga dan pasukan yang mendoakan serta tetap percaya kepada saya walaupun ketika berdepan prestasi menurun," katanya.

Pingat gangsa menjadi milik gandingan Pulau Pinang, Nur Maisarah Dzulkifli dan Teh Ern Liang selepas mengatasi pasangan penembak Perak, Aiman Syafiq Zainal Ariffin dan Sharifah Noor Ellyana Syed Abdul Hamid 16-10.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 September 2022 @ 5:51 PM