PEMAIN skuasy wanita negara, Aifa Azman mara ke pusingan ketiga bersama tiga lagi pemain. FOTO ARKIB NSTP
PEMAIN skuasy wanita negara, Aifa Azman mara ke pusingan ketiga bersama tiga lagi pemain. FOTO ARKIB NSTP
BERNAMA

Birmingham: Empat pemain skuasy negara menampilkan aksi bertenaga apabila mara ke pusingan ketiga di Sukan Komanwel Birmingham 2022 di sini.

Pemain wanita negara, Aifa Azman mengetuai cabaran pemain Malaysia ke pusingan seterusnya setelah mengatasi lawan masing-masing di pusingan kedua acara itu yang berlangsung di Pusat Skuasy dan Hoki Universiti Birmingham.

Aifa mara selepas menumpaskan pemain India, Sunayna Sara Kuruvilla, 11-8, 11-7, 11-7, dalam acara perseorangan wanita.

Pemain kebangsaan berusia 20 tahun itu dijadual berdepan pemain Kanada, Hollie Naughton, di pusingan ketiga.

Rachel Arnold meneruskan rentak kecemerlangan Aifa apabila menumpaskan pemain Pakistan, Amna Fayyaz, 11-3, 11-2, 11-5, dan akan bertemu Tesni Evans dari Wales di pusingan seterusnya.

Chan Yiwen melengkapkan kemenangan bergaya pemain wanita negara apabila mengalahkan Faiza Zafar dari Pakistan 11-3, 11-6, 11-5, dan menanti beliau di pusingan ketiga ialah pemain tuan rumah, Perry Sarah-Jane.

Dalam acara perseorangan lelaki, Ivan Yuen Chee Wern terpaksa berhempas pulas sebelum menumpaskan pemain Australia, Rhys Dowling, 11-9, 9-11, 11-5, 11-4.

Beliau akan menentang Greg Lobban dari Scotland di pusingan berikutnya.

Kemaraan seorang lagi wakil negara, Mohammad Syafiq Mohd Kamal dalam acara perseorangan lelaki, bagaimanapun, tersekat apabila tumpas kepada pemain Wales, Emyr Evans, 8-11, 3-11, 11-7, 7-11.

Perlawanan pusingan ketiga akan berlangsung hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Julai 2022 @ 8:10 AM