NUR Ain Syuhada (kiri) dan Nur Tahirah bersama trofi dimenangi mereka ketika tiba di KLIA, hari ini. FOTO AFFAN ROSTAM
NUR Ain Syuhada (kiri) dan Nur Tahirah bersama trofi dimenangi mereka ketika tiba di KLIA, hari ini. FOTO AFFAN ROSTAM
Affan Rostam


Kuala Lumpur: Kejayaan beregu wanita petanque negara meraih pingat perak dalam Kejohanan Dunia Petanque di Karslunde, Denmark, baru-baru ini membuktikan keupayaan atlet negara bukan 'calang-calang'.

Nur Ain Syuhada Mohd Asri, 25, dan Nur Thahira Tasnim Abdul Aziz, 25, menyuarakan rasa syukur dan berpuas hati apabila pengorbanan mereka menjalani latihan sejak berusia 11 tahun akhirnya terbayar dalam kejohanan bertaraf antarabangsa itu.

"Banyak cabaran dihadapi semasa latihan. Antaranya kami dipinggirkan rakan disebabkan kesibukan latihan pada setiap hujung minggu.

"Tapi kami buktikan dengan kejayaan diperolehi ketika ini dan apabila sudah besar, masing-masing mula faham dan akhirnya mereka pun sokong kami," kata Nur Tahira ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), hari ini.

Berdepan dengan atlet negara lain yang jauh lebih berusia dan berpengalaman sedikit sebanyak mendatangkan rasa gementar buat pasangan itu.

Namun, mereka tetap optimis untuk melakukan yang terbaik bagi membuktikan kemampuan atlet negara di pentas dunia.

"Kita hadiahkan pingat ini untuk buktikan bahawa Malaysia boleh cemerlang di persada dunia.

"Walaupun tekanan itu ada, tapi kami tetap fokus pada perlawanan dan cuba bermain dengan rasa seronok supaya tetap boleh berikan yang terbaik.

"Kami selalu berbincang bersama bagaimana mahu menghadapi tekanan yang dihadapi dan tambah baik permainan kami," katanya.

Menurutnya, kunci kepada kejayaan dikecapi itu adalah datangnya daripada rasa semangat dan tanggungjawab ketika membawa nama negara.

Pasangan beregu yang juga anak jati Pahang itu berjaya mencatat sejarah baharu dalam arena sukan petanque negara dan kini masing-masing memasang impian untuk beraksi di Sukan Olimpik.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Mei 2022 @ 7:42 PM