AARON-Wooi Yik dan Joe Ee dikatakan calon terbaik untuk Olahragawan, Olahragawati ASN 2022. FOTO Agensi
AARON-Wooi Yik dan Joe Ee dikatakan calon terbaik untuk Olahragawan, Olahragawati ASN 2022. FOTO Agensi
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik dilihat memiliki kelebihan untuk merangkul Anugerah Sukan Negara (ASN) 2022 sekali gus bergelar Olahragawan Kebangsaan 2022 pada majlis penyampaian yang akan berlangsung malam esok.

Mereka memiliki kelebihan selepas berjaya merangkul gelaran dunia tahun lalu di Tokyo, Jepun selepas menumbangkan pasangan Indonesia yang digelar The Daddies, Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan di final 21-19, 21-14.

Pencapaian itu adalah sejarah baharu dalam badminton negara apabila menjadi pemain pertama Malaysia yang berjaya menggondol gelaran dunia Ogos tahun lalu.

Aaron-Wooi Yik bakal diberi tentangan oleh Datuk Syarul Azman Mahen Abdullah, juara fizik atlet 167 sentimeter ke atas Kejohanan Bina Badan dan Sukan Fizik Dunia di Phuket Disember tahun lalu.

Selain Aaron-Wooi Yik dan Syarul Azman yang turut dikenali dengan gelaran 'Mike' pemenang pingat emas angkat berat Sukan Komanwel Birmingham pada Julai tahun lalu, Aznil Bidin (61 kilogram) dan Aniq Kasdan (55 kg) menjadi dua lagi calon yang bersaing bagi gelaran itu yang menawarkan trofi dan hadiah wang tunai RM20,000.

Senarai calon ASN 2022 ini dikeluarkan Majlis Sukan Negara (MSN) selepas mesyuarat Jawatankuasa Pemilihan yang dipengerusikan Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan, Dr K Nagulendran di MSN, Bukit Jalil, Jun lalu.

Sementara itu bagi calon Olahragawati Kebangsaan pula menyaksikan persaingan lima penjuru dengan ia seperti sudah berada dalam genggaman pemenang dua pingat emas gimnastik berirama (bola dan reben) Sukan Komanwel Birmingham, Ng Joe Ee.

Selain pemenang pingat perak acara tiga meter (m) papan anjal individu wanita Sukan Komanwel Birmingham, Nur Dhabitah Sabri, Joe Ee bakal berdepan seorang lagi penerjun wanita negara, Datuk Pandelela Rinong.

Pandelela adalah Olahragawati Kebangsaan empat kali termasuk 2021 dan meraih tempat keenam platform 10m Piala Dunia Fina di Berlin, Oktober lalu.

Nur Ain Syuhada Mohd Asri pula dicalonkan selepas meraih pingat gangsa perseorangan Kejohanan Petanque Dunia di Karslunde, Denmark Mei lalu.

Manakala, Nur Amisha Azrilrizal dengan gelaran kelas 51 kg bawah 23 tahun Kejohanan Muay Thai Dunia di Bangkok pula dicalonkan buat kali kedua berturut-turut.

ASN 2021 yang berlangsung di MSN, Bukit Jalil pada 31 Januari lalu, menobatkan Datuk Azizulhasni Awang (berbasikal) dan Pandelela sebagai Olahragawan dan Olahragawati Kebangsaan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Julai 2023 @ 6:32 PM