NUR Ain dan Nur Thahira (kiri) menaiki podium kedua. FOTO Persekutuan Sukan Boules Malaysia
NUR Ain dan Nur Thahira (kiri) menaiki podium kedua. FOTO Persekutuan Sukan Boules Malaysia
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Pasukan petanque negara berjaya menyinar di persada antarabangsa apabila membawa pulang pingat masing-masing perak dan gangsa di Kejohanan Dunia Petanque berlangsung dari 12 Mei sehingga 15 Mei lalu di Karslunde, Denmark.

Presiden Persekutuan Sukan Boules Malaysia, Mohd Hisham Mohd Nor menerusi kenyataannya memaklumkan kejayaan terbabit cukup membanggakan apabila atlet negara mampu menyerlah di kalangan 49 negara lain yang bertanding.

Katanya, pasukan negara yang turun dengan misi mahu melakukan kejutan menyertai kategori individu, beregu dan beregu campuran.

Bagi persaingan dalam kategori beregu (wanita), atlet Nur Ain Syuhada Mohd Asri dan Nur Thahira Tasnim Abdul Aziz berjaya mencipta sejarah dengan merangkul pingat perak buat kali pertama dalam sejarah sukan petanque Malaysia.

"Pada aksi final, mereka bertembung dengan Sepanyol namun tewas dengan mata 2- 13 sekali gus membawa pulang pingat perak untuk negara.

"Nur Ain Syuhada sekali lagi mempamerkan aksi cemerlang apabila berjaya merangkul pingat gangsa dalam kategori perseorangan (wanita) selepas tewas dengan Switzerland di suku akhir dengan mata 10-13," katanya.

Berdasarkan rekod penyertaan pasukan negara di kejohanan dunia, pada penyertaan kali ini menyaksikan Malaysia berjaya meraih pingat dalam kategori individu.

"Sebelum ini, kategori individu (wanita) tidak pernah meraih sebarang pingat dalam kejohanan dunia sejak penyertaan bermula tahun 2009," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Mei 2022 @ 6:44 PM