AKSI Alcaraz ketika bertemu Hurkacz. FOTO EPA
AKSI Alcaraz ketika bertemu Hurkacz. FOTO EPA
Reuters

Miami: Pemain remaja Sepanyol, Carlos Alcaraz meneruskan aksi sensasinya apabila menewaskan juara bertahan, Hubert Hurkacz 7-6 (5) 7-6 (2) hari ini sekali gus menempah tiket final Terbuka Miami menentang Casper Ruud.

Terdahulu, Ruud melangkah ke final selepas menewaskan Francisco Cerundolo 6-4 6-1.

Alcaraz sekali lagi menggembirakan penyokong di Stadium Hard Rock dengan aksi yang penuh semangat serta berani dan pemain berusia 18 tahun itu kini akan berusaha untuk menjadi juara termuda kejohanan itu awal pagi Isnin menentang pemain nombor lapan dunia, Ruud.

"Saya akan cuba beraksi seperti pusingan pertama untuk menutup rasa gugup. Saya rasa ia akan menjadi perlawanan final yang hebat," kata Alcaraz, yang menewaskan Ruud straight set dalam satu-satunya pertemuan mereka sebelum ini di Marbella, Sepanyol, tahun lalu.

Sementara itu, Ruud mengakui aksi di separuh akhir sebenarnya agak sukar meskipun keputusan perlawanan nampak mudah.

"Ia adalah perlawanan yang agak sukar walaupun menang straight set. Ia adalah perlawanan yang menuntut ketahanan fizikal.

"Keadaan di sini sangat lembap. Saya bernasib baik kerana boleh bangkit dan tidak perlu bermain di set ketiga," katanya.

Meskipun tewas kepada Ruud, ia adalah pencapaian memberangsangkan untuk Cerundolo yang berharap dapat memperbaiki kedudukan rankingnya apabila ia dikemaskini minggu depan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 April 2022 @ 12:14 PM