KES Sun Yang akan dibicara semula di CAS. FOTO AFP
KES Sun Yang akan dibicara semula di CAS. FOTO AFP
AFP

Paris: Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) memaklumkan sesi pendengaran untuk Sun Yang, atlet renang terkemuka China yang dijatuhkan hukuman penggantungan selama lapan tahun kerana doping tahun lalu akan dilangsungkan pada Mei ini.

"Perbicaraan baru akan berlangsung pada minggu ke 24-28 Mei," kata CAS dalam kenyataan.

Mahkamah tinggi persekutuan Switzerland membatalkan larangan terhadap atlet berusia 29 tahun itu yang dituduh memusnahkan botol darah dengan tukul ketika pengumpul datang ke rumahnya pada September 2018, kerana didakwa berat sebelah terhadap juara Olimpik tiga kali itu.

Sesi pendengaran yang baru akan berlangsung dua bulan sebelum tarikh Olimpik akan berlangsung.

Sun adalah pemegang rekod dunia dalam acara 1,500 meter gaya bebas digantung pada Februari 2020.

Namun mahkamah persekutuan Switzerland bersetuju dengan peguam perenang yang berpendapat bahawa panel Presiden CAS dari Itali, Franco Frattini sebelum ini membuat tweet anti-China. Mereka mendakwa kenyataan yang dikeluarkan dalam Twitter itu bersifat perkauman.

"Berikutan keputusan Tribunal Persekutuan Swiss pada 22 Disember 2020 menyingkirkan panel Presiden Timbang Tara sebelumnya dan melantik panel baru," katanya.

Ia akan dianggotai oleh presiden baru Hans Nater dari Switzerland, Jan Paulsson dari Perancis dan Bernard Hanotiau dari Belgium.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 April 2021 @ 1:31 PM