Frederic Sinistra muncul juara dunia tiga kali. Gambar kiri keadaan Sinistra ketika menjalani rawatan di hospital. FOTO Ihsan Foxsport.com
Frederic Sinistra muncul juara dunia tiga kali. Gambar kiri keadaan Sinistra ketika menjalani rawatan di hospital. FOTO Ihsan Foxsport.com
Agensi

Paris: Juara kickboxing, Frederic Sinistra meninggal dunia kerana Covid-19.

Jaguh berusia 41 tahun itu yang lebih dikenali dengan gelaran 'The Undertaker' meninggal dunia di kediamannya dekat Ciney, Belgium selepas mengambil keputusan keluar dari hospital dan menjalani rawatan di rumah.

Juara dunia tiga kali itu dipaksa mendapatkan rawatan lanjut oleh jurulatihnya, Osman Yigin pada November lalu.

Dia berkongsi beberapa gambar dirinya terlantar di katil hospital unit rawatan rapi dengan bantuan alat pernafasan.

Selepas mengambil keputusan keluar daripada hospital, jaguh heavyweight itu dilaporkan merawat dirinya sendiri dengan bantuan alat pernafasan di rumah.

Kematiannya diumumkan oleh rakannya menerusi ciapan di Facebook.

Atlet itu sebelum ini berkongsi klip video di mana dia kelihatan bergelut untuk bernafas, dengan menyatakan dia tidak mahu membuang masa dengan manusia yang malas.

Atlet anti vaksin itu dalam satu ciapan lain berkata virus berkenaan tidak akan menghalangnya ketika dia menentang kerajaan mengenai langkah-langkah pencegahan Covid-19.

Sinistra dipercayai aktif di laman sosial pada 13 Disember lalu namun meninggal dunia dua hari kemudian selepas berdepan masalah jantung.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Disember 2021 @ 12:05 PM