HARMON dilaporkan meninggal dunia akibat Covid-19.
HARMON dilaporkan meninggal dunia akibat Covid-19.
Agensi

Washington: Seorang antivaksin yang lantang menolak kebaikan suntikan itu dilaporkan meninggal dunia akibat Covid-19.

Portal BBC melaporkan Stephen Harmon dari California cukup dikenali apabila lantang mengutuk mengenai pengambilan vaksin dalam media sosialnya.

Lelaki itu juga sering menegaskan tidak akan mengambil vaksin untuk mengawal jangkitan Covid-19.

"Saya ada 99 masalah namun tidak akan sesekali mengambil vaksin," kata lelaki berusia 34 tahun itu kepada 7,000 pengikutnya dalam media sosial pada Jun lalu.

Bagaimanapun, Harmon menerima rawatan akibat pneumonia dan Covid-19 di sebuah hospital di sini sejak lebih sebulan lalu sebelum meninggal dunia, baru-baru ini.

Beberapa hari sebelum kematiannya, Harmon dilihat merakam gambar keadaannya diberi bantuan oksigen menunjukkan dia terbaring atas katil hospital.

"Tolong doakan saya, mereka (hospital) mahu intubasi dan pasangkan alat pernafasan untuk saya," katanya.

Dalam ciapan terakhirnya pada Rabu lalu, Harmon memberitahu dia memilih untuk diintubasi dan 'tidak tahu bila akan sedar semula.'

Biarpun mempunyai komplikasi yang teruk akibat Covid-19, lelaki itu masih berdegil untuk menerima vaksin.

Sebelum kematiannya, lelaki itu pernah bergurau mengenai pandemik dan vaksin, berkongsi meme mengatakan dia lebih mempercayai kitab Bible berbanding pakar kesihatan Amerika Syarikat, Dr Anthony Fauci.

Pengasas Hillsong, Brian Houston mengesahkan berita kematian lelaki berkenaan menerusi satu ciapan Khamis lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Julai 2021 @ 6:15 AM