NOORUL Ariffin minta kepada bekas atlet yang terkesan akibat musibah banjir menghubungi pejabat mereka di talian 03-20924844. FOTO AIZUDDIN SAAD
NOORUL Ariffin minta kepada bekas atlet yang terkesan akibat musibah banjir menghubungi pejabat mereka di talian 03-20924844. FOTO AIZUDDIN SAAD
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb) dalam usaha mengenalpasti bekas atlet yang terjejas akibat banjir yang melanda di beberapa kawasan sejak Jumaat lalu.

Pengerusi Yakeb, Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed, berkata, menerusi Skim Bantuan Khas Yakeb, pihaknya akan menyampaikan bantuan berkenaan dalam minggu ini.

"Selepas keadaan banjir reda, kami akan terus melawat ke rumah bekas atlet yang terjejas bagi menyampaikan bantuan. Setakat ini, seramai tujuh bekas atlet sudah dikenal pasti yang memerlukan bantuan.

"Mungkin kali ini kami akan berikan tambahan bantuan wang tunai berbanding kebiasaannya.

"Saya minta kepada bekas atlet yang terkesan akibat musibah banjir dan ingin mendapatkan bantuan bencana alam di bawah Skim Bantuan Khas Yakeb boleh menghubungi pejabat kami di talian 03-20924844, " katanya.

Menurutnya, antara yang terjejas adalah bekas atlet silat Zakri Ibrahim yang menetap di Semenyih, Norhashimah Ismail (boling padang di Klang), Halimah Hassan (boling padang para di Kajang), Mohd Rosdi Ngah (angkat berat di Kuantan), P Sidamparam (olahraga di Shah Alam), Rosli Omar (ragbi di Hulu Langat) dan S Vejayan (tinju di Shah Alam).

Sementara itu, Noorul memaklumkan pihaknya juga berusaha bagi mendapatkan bantuan daripada Exco Pembangunan Generasi Belia dan Sukan dan Pembangunan Insan Selangor, Mohd Khairuddin Othman bagi memperbaiki kediaman bekas atlet yang mengalami kerosakan akibat banjir.

"Kalau ada harta benda mereka seperti televisyen atau barangan elektrik yang lain rosak, kami akan cuba gantikan dengan bantuan daripada Khairuddin," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Disember 2021 @ 4:54 PM