EIZLAN meletakkan sasaran untuk layak ke Sukan SEA Vietnam selepas ini. FOTO NSTP
EIZLAN meletakkan sasaran untuk layak ke Sukan SEA Vietnam selepas ini. FOTO NSTP
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Atlet Sabah Mohamad Eizlan Dahalan sekali lagi mencipta kejutan apabila mengalahkan jaguh lompat tinggi kebangsaan Lee Hup Wei pada Kejohanan Olahraga Tertutup Kebangsaan di Bukit Jalil, Kuala Lumpur, pagi tadi.

Mohamad Eizlan mencatatkan lompatan 2.14 meter (m) untuk berada di kedudukan pertama manakala rakan sepasukannya Farell Glenn Felix Jurus pula di tempat kedua (2.14m).

Hup Wei yang mewakili Angkatan Tentera Malaysia (ATM) terpaksa berpuas hati di tempat ketiga menerusi catatan 2.10m.

Eizlan berkata, walaupun dapat mengalahkan jaguh lompat tinggi negara itu namun dia agak 'terkilan' apabila tidak dapat melepasi had kelayakan Sukan Sea iaitu sekurang-kurangnya 2.15m.

"Setakat ini prestasi saya adalah baik kerana sebelum ini catatan masa itu pernah direkodkan ketika menyertai ujian kelayakan Sukma.

"Mungkin dia (Hup Wei) keletihan namun saya gembira dapat mengalahkan atlet itu. Sasaran saya selepas ini adalah layak untuk ke Sukan SEA Vietnam," katanya, ketika ditemui Arena Metro.

Mengikut rekod, sebelum ini Eizlan pernah menewaskan Hup Wei pada Kejohanan Grand Prix (GP) Malaysia April lalu.

Hup Wei yang ketika itu mewakili Selangor kecundang apabila mendapat tempat kedua dengan lompatan 2.05m manakala Eizlan meraih tempat pertama (2.05m) diikuti atlet Johor Norshafiee Mohd Shah di tempat ketiga (1.96m).

Pingat emas menjadi milik Mohamad Eizlan selepas Hup Wel menarik diri daripada meneruskan lompatan pada ketinggian 2.07m sementara atlet Sabah itu yang meneruskan cabaran gagal melepasi ketinggian itu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Disember 2021 @ 5:38 PM