AIFA tewaskan pemain Mesir di suku akhir.
AIFA tewaskan pemain Mesir di suku akhir.
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Rentak cemerlang berjaya diteruskan pemain skuasy wanita negara, Aifa Azman selepas berjaya mara ke separuh akhir Terbuka Malaysia yang akan berlangsung esok.

Aifa tidak berdepan masalah dalam saingan suku akhir sebentar tadi apabila menewaskan Hana Ramdan dari Mesir 3-0 di Pusat Skuasy Nasional, Bukit Jalil.

Dia yang menduduki ranking ke-69 dunia, sangat berpuas hati dengan prestasi ditampilkannya walaupun terpaksa bersaing sengit dengan lawannya sebelum menang 11-9, 11-9, 11-5 dalam tempoh 26 minit.

"Saya sangat gembira kerana menang 3-0 selepas saya mengharungi satu perlawanan sengit menewaskan pilihan ketiga semalam," katanya selepas tamat perlawanan hari ini.

Jelas Aifa, dia mengharungi satu aksi sengit menentang pilihan ketiga dan gembira kerana berjaya menang 3-0 hari ini walaupun jarak mata kami sangat rapat. "Perancangan saya untuk separuh akhir esok adalah menang. Saya akan merangka strategi permainan terbaik dengan jurulatih kerana saya mahu melangkah ke pentas final.

"Saya akan bersedia sepenuhnya untuk perlawanan esok kerana lawan saya juga menunjukkan peningkatan ketara dan dia sekarang sudah berada dalam kelompok 20 terbaik dunia," kata Aifa.

Di separuh akhir esok, pemain berusia 20 tahun kelahiran Kedah itu bakal berdepan pemain nombor 19 dunia dari Kanada, Danielle Letournea yang mara selepas menewaskan seorang lagi wakil Mesir, Nadine Shahin 9-11, 14-12, 8-11, 11-8, 11-4.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 November 2021 @ 6:09 PM