Aifa (kanan) tewas kepada Hania pada final di Pusat Skuash Negara, Bukit Jalil. FOTO NSTP/AZIAH AZMEE
Aifa (kanan) tewas kepada Hania pada final di Pusat Skuash Negara, Bukit Jalil. FOTO NSTP/AZIAH AZMEE
Azlan Muhammad Zain


MESIR seperti dijangka terus mendominasi skuasy dunia apabila barisan pemainnya cemerlang pada Kejohanan Skuasy Remaja Dunia yang berakhir di Pusat Skuasy Nasional, Bukit Jalil, hari ini.

Arena Nicol David menjadi saksi kehebatan pemain remaja Mesir apabila menafikan Malaysia dalam acara berpasukan di final untuk melakar kemenangan 2-0 sekali gus merangkul kejuaraan kesembilan sejak mula dipertandingkan pada 1995.

Harapan negara yang diletakkan kepada Aifa Azman tidak kesampaian apabila dia tidak berada pada tahap terbaik dan kecundang kepada pemain ke-15 dunia, Hania El Hammamy  6-11, 11-6, 11-9, 11-3 dalam masa 40 minit.

"Saya hampir mengalami kekejangan kaki kanan pada set keempat namun cuba meneruskan perlawanan sehingga habis.

"Bermula dengan baik apabila menang set pertama namun lawan mengubah corak permainan. Saya cuba mengikut rentaknya namun ternyata dia bermain lebih baik hari ini," kata Aifa.

Kebangkitan yang cuba dipamerkan peseorangan kedua negara, Noor Aina Amani Ampandi turut tidak kesampaian apabila turut kecundang dalam aksi lima set 9-11, 11-8, 11-4, 9-11, 4-11 sekali gus meleburkan impian Malaysia meraih kejuaraan buat kali pertama.

Walaupun cuba memberikan tentangan sengit kepada Farida Mohamed, ia masih belum cukup menghalang kemenangan lawan yang meraih kejuaraan ketujuh berturut-turut sejak 2007.

Saingan individu yang dilangsungkan sejak minggu lalu turut menyaksikan penguasaan Mesir dengan Hania yang juga pemain ke-15 dunia bergelar juara menewaskan rakan senegara, Jana Shiha.

Manakala Mostafa Asal turut mempertahankan gelaran juara menewaskan rakan sepasukan dari Mesir, Moustafa Elsirty.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Ogos 2019 @ 6:43 PM