HANYA atlet yang berada di dalam program MSN sahaja dibenarkan berlatih di dalam kawasan organisasi berkenaan. FOTO Ihsan Facebook AtletMalaysia
HANYA atlet yang berada di dalam program MSN sahaja dibenarkan berlatih di dalam kawasan organisasi berkenaan. FOTO Ihsan Facebook AtletMalaysia
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Majlis Sukan Negara (MSN) ingin memaklumkan bahawa hanya atlet yang berada di dalam program MSN sahaja dibenarkan berlatih di MSN dan mengikut ketetapan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dengan menjalani ujian calitan dan kuarantin sebelum memulakan latihan di venue latihan.

Ia merujuk kepada kenyataan oleh ketua pasukan olahraga negara yang akan ke Sukan Para Remaja Asia (AYPG) 2021 di Bahrain yang bermula 2 hingga 6 Disember ini, Adnan Mat Ali yang memaklumkan mengenai nasib atletnya yang tidak mempunyai tempat latihan.

Adnan berkata, ketika ini atlet di bawah kendaliannya sekadar berlatih di luar Stadium Nasional Bukit Jalil dan ada ketikanya terpaksa membayar sendiri untuk menjalani latihan untuk menggunakan fasiliti di beberapa lokasi.

Tambah berat lagi, atletnya dalam acara padang seperti lontar peluru dan lompat jauh terpaksa menyewa tempat latihan yang menawarkan kemudahan berkenaan.

Menurut Pengarah Bahagian Paralimpik MSN, Mohd Sofian Hamzah berkata, tujuan sekatan berkenaan adalah bertujuan untuk mengekang penularan Covid-19 yang masih tinggi di Malaysia ketika ini.

"Maklumat itu sememangnya diketahui oleh Adnan yang berperanan selaku jurulatih pembangunan untuk mencungkil bakat atlet olahraga para di sekitar Kuala Lumpur dan Putrajaya.

"Isu ditimbulkan Adnan agak mengelirukan kerana atlet yang didakwanya tiada tempat latihan itu sebenarnya adalah atlet yang berpangkalan di Perak dan baharu dua bulan sahaja berlatih di bawah kendalian beliau.

"Berdasarkan sesi penilaian prestasi yang dilakukan, catatan jarak lompatan atlet berkenaan dalam dua sesi pemilihan terakhir jauh tertinggal daripada keputusan lima terbaik acara lompat jauh T-46 pada temasya empat tahun lalu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 November 2021 @ 11:34 PM